Mahkamah arah Isa Samad bela diri 9 pertuduhan rasuah

Mahkamah arah Isa Samad bela diri 9 pertuduhan rasuah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad untuk membela diri atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian Hotel Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Bagaimanapun dia dibebaskan bagi satu pertuduhan pecah amanah jenayah berkaitan pembelian itu.

Hakim Mahkamah Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kes tersebut.

“Berkenaan dengan kesemua sembilan tuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009, saya berpuas hati bahawa terdapat bukti yang boleh dipercayai untuk membuktikan unsur-unsur kesalahan menerima rasuah.

“Pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti yang boleh dipercayai yang membuktikan elemen penting atas kesalahan menerima rasuah di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM.

“Memandangkan bukti penerimaan wang tunai oleh tertuduh, saya dengan ini di bawah Seksyen 50 Akta SPRM meminta pihak pembelaan membela diri terhadap anggapan penerimaan wang tunai sebagai tidak rasuah dan tidak diperoleh sebagai ganjaran atas keterlibatan tertuduh dalam persetujuan oleh lembaga FIC pembelian Merdeka Palace Hotel,” katanya.

Isa yang berpakaian sut biru tua kelihatan tenang di kandang tertuduh ketika penghakiman dibacakan.

Jika didapati bersalah, Isa berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan selain denda sehingga lima kali ganda daripada nilai suapan.

Pada 14 Jan lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas 15 hari perbicaraan dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan.

Pada 14 Dis 2018, Isa, 71, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, bagi meluluskan pembelian sebuah hotel, Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Beliau didakwa melakukan perbuatan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Semua kesalahan menerima rasuah pula didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 15 Dis 2015.

Bagi, pertuduhan pecah amanah, Nazlan berkata bahawa pihak pendakwaan gagal membuat kes prima facie terhadap Isa.

Menurutnya, minit mesyuarat lembaga pengarah FIC pada 29 April 2014 menunjukkan bahawa pembelian hotel itu dengan harga RM160 juta diluluskan oleh pengarah FIC.

“Bukti juga menunjukkan, di sebalik keputusan awal lembaga FIC untuk meneruskan pembelian Hotel Merdeka Palace, permintaan kepada lembaga untuk kaji semula cadangan pembelian oleh perdana menteri (Najib Abdul Razak), yang juga menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda dan bukannya tertuduh.

“Tertuduh juga tidak pernah meluluskan untuk mengeluarkan dana syarikat untuk tujuan pelaburan. Dakwaan dalam pertuduhan bahawa tertuduh meluluskan pembayaran dana syarikat tidak boleh diterima.

“Atas alasan ini sahaja, pertuduhan pecah amanah tidak boleh diterima. Oleh itu, tertuduh diperintah untuk dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan pecah amanah,” katanya.

Isa akan beri keterangan secara bersumpah

Sementara itu, mahkamah menetapkan prosiding perbicaraan bela diri pada 17, 18 dan 19 Ogos ini.

“Keputusan telah dibuat. Saya ada 10 pertuduhan. Saya telah dilepaskan dan dibebaskan bagi pertuduhan pecah amanah. Jadi saya akan bela diri bagi sembilan pertuduhan rasuah.

“Saya memilih untuk memberi keterangan bersumpah,” katanya kepada pemberita di luar bilik mahkamah.

Peguamnya, Salehuddin Saidin berkata bahawa anak guamnya diberi tiga pilihan dalam prosiding bela diri.

“Tan Sri memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan ini bermakna beliau bersedia untuk disoal balas oleh pihak pendakwaan.

“Jadi, disebabkan itu, pihak Tan Sri Isa perlu memberikan keterangan di mahkamah pada hari yang ditetapkan untuk tujuan mematahkan segala anggapan yang menyatakan beliau telah menerima wang suapan seperti mana dalam pertuduhan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berkata pihaknya akan menunggu arahan daripada peguam negara berhubung keputusan mahkamah membebaskan Isa dalam tuduhan pecah amanah.

Berita penuh:

https://www.malaysiakini.com/news/530408

COMMENTS