Mahathir pelik Muhyiddin tak berani teruskan undian lantik Azhar sebagai speaker

Mahathir pelik Muhyiddin tak berani teruskan undian lantik Azhar sebagai speaker

Bersatu Tun Dr Mahathir mendakwa Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bukanlah Speaker yang dipilih ahli Dewan Rakyat susulan proses pelantikan beliau tidak melibatkan pengundian semasa sidang berlangsung semalam.

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataannya bersama lima lagi ahli Parlimen Bersatu yang bersama beliau berlata, pembangkang telah dinafikan hak untuk mengemukakan calon Speaker apabila notis 14 hari tidak diberi setelah berlaku kekosongan jawatan pada semalam.

Bersatu juga mendakwa, tiada alasan munasabah diberi dan perbahasan pula tercemar dengan tingkah laku biadab oleh beberapa wakil rakyat kerajaan.

“Pembangkang tidak diberi masa yang cukup untuk membahas satu usul yang julung-julung kali dalam sejarah Dewan Rakyat Malaysia.

“Speaker Dewan Rakyat juga seharusnya seorang yang ‘impartial’ atau tidak berpihak dan bukannya yang dipilih bagi memenuhi segala kehendak Eksekutif.

“Agak pelik Ahli Parlimen Pagoh tidak meneruskan pencalonan Azhar untuk pengundian oleh ahli-ahli Dewan Rakyat memandangkan Perikatan Nasional telah pun mendapat undi 111 ketika usul mengosongkan jawatan Speaker,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan dibuat bersama antara Mahathir, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Dr Maszlee Malik; ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; dan ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Sementara itu, Bersatu meluahkan rasa kesal apabila Azhar terus mengambil tempat mempengerusikan mesyuarat tanpa Usul No.3 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul semasa persidangan Dewan Rakyat dibahas dan diundi oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Mereka berkata, begitu juga dengan kedudukan Nga Kor Ming selaku Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Jelasnya, Apabila Nga meletak jawatan, seharusnya notis 14 hari dikeluarkan bermula dari tempoh tersebut dan bersesuaian dengan Usul No.5 Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul.

“Kami menegaskan bahawa Speaker yang ada pada hari ini bukanlah yang dipilih oleh ahli-ahli Dewan Rakyat kerana proses pengundian tidak diadakan,” tegasnya.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/perlantikan-speaker-tidak-sah-kata-tun-dr-mahathir/

COMMENTS