‘Mahal baju tu, RM50 punya sudahlah!’ Isteri tebalkan muka malu bila suami sound depan orang ramai

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

“MAHAL baju tu, RM150 sepasang. Pilih yang RM50 sudahlah!” kata seorang lelaki dengan nada meninggi kepada isterinya yang meminta dibelikan sepasang baju untuk raya.

Si isteri akur, menunduk malu di hadapan orang ramai yang memandang.

Walaupun hati kecilnya berkeinginan, namun suami tidak mengizinkan.

Pada pukul empat pagi, lampu dapur menyala. Tubuh kecil itu mula memegang senduk dan kuali, bergelut dengan bawang dan api.

Ketika menggoreng ikan, anak kecil menangis. Api diperlahankan, dia berlari ke bilik untuk memberi susu.

'Mahal baju tu, RM50 punya sudahlah!' Isteri tebalkan muka malu bila suami sound depan orang ramai

Sempat menenangkan seketika sebelum kembali ke dapur.

Pada pukul lima pagi, dia mengejutkan anak-anak untuk bersahur. Akhirnya, suami yang masih berdengkur. Tabah dia memujuk anak, gigih mengejutkan si bapa.

Makanan panas disiapkan, nasi disenduk, air masih berasap, semua untuk bekal kekuatan keluarga.

Selesai sahur, suami ke beranda merokok dan bermain telefon sambil menunggu waktu subuh. Isteri pula mengemas pinggan dan membasuh yang patut.

Azan berkumandang, dia segera mengejutkan anak-anak untuk solat. Itu adalah tanggungjawab, ibu bapa wajib mendidik anak untuk patuh kepada Tuhan.

Suami kembali berdengkur, dan isteri mengumpulkan kain baju untuk dicuci dan dijemur. Banyak kain dalam bakul yang belum dilipat. Dia cuba meluangkan masa untuk melipat mana yang sempat.

Pada pukul sembilan pagi, matanya sudah tidak mampu bertahan. Dia merebahkan badan untuk rehat seketika. Baru sahaja terlena, anak kecil menggoncang badan, pampers penuh, perut lapar. Dia terpaksa bangun walaupun masih penat dan mengantuk.

Tengah hari, dia mop lantai, mengejut suami untuk solat Zohor dan mengajak pergi ke pasar untuk membeli barang mentah. Setelah pulang, uruskan anak-anak dan terus berperang di dapur untuk menyiapkan juadah berbuka.

Selepas maghrib, ketika anak-anak bermain di ruang tamu dan suami ralit menonton berita, dia masih sibuk di dapur. Selepas tugas di dapur selesai, dia harus menguruskan anak-anak dan kemas rumah, serta melipat baju yang masih berbaki. Hanya lewat malam dia dapat merebahkan badan.

Pagi esok, rutinnya bermula lagi. Hebatnya seorang isteri dan ibu, begitu besar pengorbanan mereka. Jika setahun sekali isteri meminta sepasang pakaian yang baik, cubalah penuhi permintaannya. Bukannya dia minta setiap hari, hanya untuk hari istimewa sahaja. Jika setahun sekali pun berkira, apa lagi yang boleh dikatakan?

Pengorbanan dan jasa mereka tidak terbayang dan tidak tertulis. Raikan mereka sekali-sekala. Jika tidak mampu, janganlah memalukan mereka di khalayak ramai. Cakaplah dengan baik, bisikkan dengan lembut.

BACA: Kaya ada duit tapi sengaja tak bayar ansuran kereta, rupanya ini ramai orang kaya selalu buat