Luah hasrat naik harga makanan, pengusaha restoran mamak di Johor dipanggil mengadap KPDN

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor akan dipanggil esok untuk memberikan penjelasan mengenai

cadangan mereka untuk menaikkan harga makanan sekurang-kurangnya lima peratus bermula tahun hadapan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata,

pihaknya telah mengeluarkan notis kepada persatuan tersebut untuk menjelaskan sebab-sebab di sebalik cadangan

kenaikan harga tersebut mengikut Seksyen 21.2 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Luah hasrat naik harga makanan, pengusaha restoran mamak di Johor dipanggil mengadap KPDN

“Persatuan ini baru sahaja mengumumkan cadangan untuk tahun depan, jadi kita bertindak proaktif kerana kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) Perkongsian Data Harga antara KPDN, Mydin, dan Redtick di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor mengadu bahawa kos operasi mereka semakin meningkat dan pelaksanaan gaji minimum pada tahun hadapan dijangka akan menambah lagi beban kos operasi.

Sebagai hasilnya, pengusaha restoran mamak dijangka akan menaikkan harga makanan di premis mereka sebanyak lima peratus bermula tahun depan.

Mengulas lanjut, Armizan memberikan contoh tindakan yang diambil melalui Ops Kesan 2.0, di mana KPDN sebelum ini bertindak terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan berikutan penyasaran subsidi diesel dan kenaikan SST.

“Beberapa pihak telah membuat pengumuman kenaikan harga, namun selepas dipanggil dan diminta penjelasan, didapati alasan yang diberikan tidak relevan.

Sebagai contoh, sektor pembinaan mendakwa kenaikan harga disebabkan oleh penyasaran subsidi diesel, sedangkan sektor ini sebenarnya tidak layak menggunakan diesel bersubsidi,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus mengeluarkan notis dan mengambil tindakan di bawah Ops Kesan 2.0 untuk memastikan bahawa sebarang kenaikan harga hanya dilakukan berdasarkan kos sebenar yang relevan.

BACa: Pengarah JSJ Bukit Aman dedah graduan bidang ini berisiko jadi mangsa pemerdagangan manusia