Lompat parti amalan positif di Sabah, kata Ketua Bersatu

Lompat parti amalan positif di Sabah, kata Ketua Bersatu

Tindakan ‘lompat parti’ mungkin mengundang pandangan sinis dan dikaitkan dengan murahnya nilai kesetiaan terhadap roh perjuangan, namun di Sabah ia dilihat aspek positif yang melambangkan kematangan berpolitik.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata perbuatan ‘beralih angin’ dengan bertukar parti sukar disekat di negeri itu, lebih-lebih lagi apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan pentadbiran Persekutuan.

Beliau yang turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ini berkata, pentadbiran negeri cenderung untuk mengikut haluan kerajaan Persekutuan.

“Dalam usaha memacu ekonomi dan memajukan negeri, kerajaan di Sabah perlu selari dengan Kerajaan Persekutuan kerana banyak limpahan manfaat akan dinikmati, terutama untuk meneruskan pembangunan.

“Orang kata ramai lompat parti di Sabah, tapi politik di Sabah ini sangat matang. Kami tidak bergaduh sesama sendiri dan boleh duduk semeja, makan bersama.

“Percayalah, kami boleh berkongsi padang jika berkempen untuk pilihan raya kerana masing-masing ada tanggungjawab meyakinkan pengundi.

“Bagaimanapun, untuk memajukan Sabah, kita mahu kerajaan yang stabil dan dalam mendapatkan kestabilan itu, kita mesti sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada BH, kelmarin.

Hajiji memenangi kerusi DUN Sulaman pada 1990 dan sosok tubuhnya sangat sinonim dengan masyarakat setempat.

Selepas sekian lama bertanding di bawah tiket UMNO/Barisan Nasional (BN), beliau menyertai BERSATU selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengenai kedudukannya bersama Pakatan Harapan (PH) sebelum kembali bekerjasama dengan BN melalui Perikatan Nasional (PN), beliau menyifatkannya lumrah dalam politik yang memberinya kelebihan tersendiri.

“Ketika bersama PH, persaingannya secara peribadi lebih sukar kerana perlu berdepan BN yang menjadi keluarga saya.

“Namun dengan kerjasama ini (PN dan BN), persaingan saya menjadi ringan sedikit. Bagaimanapun, kita tetap memantau beberapa kerusi yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri dalam lingkungan kerjasama BN dan PN serta parti mesra kedua-dua gabungan ini.

“Ia agak membimbangkan kerana ia boleh membuatkan lawan kita menang, tetapi kita akan pastikan segala usaha diambil bagi memastikan kemenangan berpihak kepada kerjasama BN dan PN,” katanya.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang memberi bayangan kemungkinan beliau dilantik Ketua Menteri jika gabungan PN dan rakannya menang, beliau enggan terlalu memikirkannya.

Apa juga keputusan, tegasnya, adalah hak mutlak pucuk pimpinan dan siapa juga yang dinamakan akan mendapat sokongan serta kerjasama penuh.

“Saya tidak pernah memikirkannya. Dulu saya hanya menjaga DUN sendiri, namun kini saya mempunyai tanggungjawab besar memimpin BERSATU Sabah.

“Masih banyak urusan perlu dibereskan dan fokus saya ketika ini adalah keperluan masyarakat setempat,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/09/731529/lompat-parti-di-sabah-lambang-politik-matang

COMMENTS