Lima cadangan ahli parlimen kepada Kementerian Pendidikan Malaysia

Lima cadangan ahli parlimen kepada Kementerian Pendidikan Malaysia

Tujuh ahli Parlimen pembangkang mengemukakan lima cadangan kepada Kementerian (KPM), susulan keputusan untuk membuka semula sekolah secara berperingkat bermula 1 Mac ini.

Antara cadangan tersebut adalah memberi kelonggaran berhubung seragam sekolah untuk tahun ini serta mengutamakan pemberian vaksin kepada guru dan kakitangan sekolah, sepertimana petugas barisan hadapan.

“Ramai ibu bapa yang telah terbeban dengan pandemik dan telah berbelanja besar untuk pendidikan anak-anak.

“Kelonggaran untuk berpakaian bebas harus diberikan sekurang-kurangnya untuk tahun ini memandangkan ada kebarangkalian sekolah akan ditutup kembali jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

“[…] Para guru dan kakitangan sekolah juga wajib diberikan keutamaan di dalam menerima vaksin sepertimana petugas barisan hadapan yang lain,” kata mereka lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh tujuh ahli Parlimen pembangkang pelbagai parti, iaitu Maszlee Malik (Bebas- Simpang Renggam); Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Setiawangsa); Teo Nie Ching (Kulai-DAP); Hasan Baharom (Amanah-Tampin); Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud).

Ia turut disertai Ahli parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga pengasas Muda, serta Ahli parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dari Pejuang – kedua-dua parti yang masih belum didaftarkan.

Hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata guru yang memiliki komorbiditi dan berisiko tinggi terjejas akibat jangkitan Covid-19 boleh dipertimbang sebagai calon penerima vaksin awal.

Selain itu, mereka juga menggesa KPM berhenti membuat keputusan yang disifatkan sebagai “tidak terancang dan reaktif”, tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat.

Mereka juga menggesa sistem pembelajaran berasaskan teknologi – sama ada di dalam atau di luar kelas – dikukuhkan, termasuk dengan menambah baik akses internet.

“Kami juga mencadangkan agar KPM merujuk cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Pendidikan PH pada 20 Februari berkaitan isu yang sama,” kata mereka lagi.

Kelmarin Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pembukaan sesi persekolah secara berperingkat bermula Mac ini.

Pengumuman itu dibuat dua hari selepas pelancaran Didik TV, iaitu saluran pendidikan bagi membantu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurut Radzi, persekolahan bagi murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua akan bermula pada 1 Mac, manakala untuk tahun tiga, empat, lima dan enam pula bermula 8 Mac. Pelajar sekolah menengah sesi pula akan mula bersekolah bermula 4 dan 5 April.

Sebelum ini, KPM menerima kritikan berhubung beberapa keputusan yang berubah saat akhir antaranya pembatalan pembukaan semula sekolah pada 20 Jan. Ketika itu, sekolah hanya dibuka untuk pelajar yang menduduki peperiksaan penting.

Bagaimanapun, sesi tersebut kembali ditutup selepas hanya hampir minggu pelajar berkenaan bersekolah.

Dalam kenyataan hari ini lagi, mereka berkata KPM seharusnya lebih mendengar suara mereka sebagai pemegang taruh dalam sektor pendidikan terutama ibu bapa, setelah setahun Covid-19 melanda negara.

“Ketidakcekapan dalam membuat keputusan-keputusan besar yang melibatkan seluruh rakyat seharusnya tidak berulang lagi.

“Kebanyakan ibu bapa sudah mengeluarkan belanja membelikan kelengkapan belajar secara dalam talian buat anak-anak mereka, dan perdana menteri juga telah melancarkan Didik TV selang dua hari sebelum menteri pendidikan mengumumkan pembukaan semula sekolah.

“Deretan pengumuman yang bercanggah dan mengelirukan ini amat memberi kesan kepada rakyat terutamanya mereka yang bergelut dengan keadaan ekonomi semasa,” kata mereka lagi.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/563817