Chagee tampil memohon maaf atas tindakan salah seorang staf mereka yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan kejadian staf jenama teh terkenal ini
Ada yang dilaporkan menyorokkan cawan yang dipercayai mengandungi hadiah daripada peraduan “Tear & Win.
” Cawan tersebut didakwa diberikan kepada influencer, bukannya kepada pelanggan secara rawak seperti sepatutnya.
Permohonan Maaf dari Chagee
Dalam satu kenyataan rasmi, Chagee menyatakan:
“Kami dengan rendah hati memohon maaf atas sebarang kebimbangan dan kesulitan berkaitan video TikTok baru-baru ini tentang acara Tear & Win.
Tingkah laku tersebut tidak mencerminkan standard yang dipegang oleh pihak Chagee, dan kami amat menyesal atas segala persepsi negatif yang timbul.
“Kami mengambil perkara ini dengan serius untuk memastikan pengalaman positif untuk semua pelanggan kami.”
Siasatan dan Tindakan Sewajarnya
Chagee mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Mereka turut berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan insiden sebegini tidak berulang.
“Kami sedang menjalankan siasatan terperinci dan akan mengambil tindakan yang sesuai selaras dengan nilai teras syarikat kami. Di samping itu, kami bekerjasama dengan cawangan terlibat untuk mengkaji semula prosedur operasi demi memastikan standard tertinggi dipatuhi,” tambah kenyataan tersebut.
Sistem Baru untuk Proses Lebih Telus
Sebagai langkah penambahbaikan, Chagee mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan sistem baharu menggunakan kod QR.
“Bermula Disember, item fizikal dalam cawan Big Big Cup akan digantikan dengan slip kod QR. Dengan imbasan kod QR ini, pelanggan akan dapat melihat hasil cabutan bertuah secara langsung selepas proses imbasan.
“Kami amat menghargai maklum balas pelanggan dan akan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kami. Kepercayaan dan sokongan pelanggan adalah keutamaan kami.”
Chagee turut berjanji untuk menyelesaikan isu ini dengan segera bersama pasukan khidmat pelanggan mereka bagi memastikan pengalaman pelanggan terus terjaga.
BACA: Kerajaan benarkan pengusaha stesen minyak gajikan pekerja asing di kafe dan kedai serbaneka