Lepas potong akaun air, kerajaan Kelantan lantik ‘ah long’ berlesen kutip hutang

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Di Kelantan, isu bil air tertunggak kini menjadi perhatian serius apabila Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mendedahkan

sebanyak 7,270 pengguna masih mempunyai hutang yang belum diselesaikan bagi tempoh 2022 dan 2023, lapor Buletin TV3.

Jumlah tunggakan bil air di Kelantan kini mencecah RM4.6 juta, yang membawa kepada amaran tegas daripada AKSB

bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terus gagal menjelaskan bayaran.

Menurut kenyataan AKSB, pengguna yang terlibat telah diberikan tempoh sehingga hari ini untuk menyelesaikan hutang mereka, terutamanya bagi akaun yang telah dipotong bekalan airnya.

Lepas potong akaun air, kerajaan Kelantan lantik 'ah long' berlesen kutip hutang

Sekiranya mereka masih gagal membayar selepas tarikh akhir ini, senarai nama dan nombor akaun pengguna tersebut akan diserahkan kepada peguam AKSB untuk tindakan undang-undang seterusnya.

Dalam pecahan statistik, pada tahun 2022, sebanyak 3,316 akaun air telah dipotong dengan jumlah hutang yang masih belum dijelaskan mencecah RM2.379 juta.

Sementara itu, pada tahun 2023, jumlah tunggakan meningkat kepada RM2.196 juta, melibatkan 3,954 akaun yang masih belum melunaskan bil air mereka.

“AKSB sedang mempergiatkan usaha untuk mendapatkan semula hutang berjumlah RM4.5 juta daripada pengguna yang terlibat,” jelas kenyataan itu.

AKSB juga menjelaskan bahawa Unit Penguatkuasaan mereka akan mengambil langkah pemotongan air terhadap akaun pengguna yang mempunyai tunggakan lebih daripada tiga bulan.

Dalam tempoh 45 hari selepas bil akhir dikeluarkan, jika hutang masih tidak dijelaskan, deposit pengguna akan ditolak untuk menampung tunggakan, menjadikan akaun tersebut tidak aktif dan berstatus hutang.

Bagi mempercepatkan proses kutipan hutang, AKSB telah melantik empat ejen kutipan hutang berlesen yang akan bertindak untuk mendapatkan semula jumlah tunggakan ini.

AKSB turut menyeru pengguna untuk sentiasa peka dengan perkembangan terkini melalui saluran komunikasi rasmi mereka seperti laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, dan Facebook.

Langkah ini diambil bagi memudahkan pengguna mengakses maklumat terkini berkenaan bil mereka dan menyelesaikan hutang tertunggak.

BACA: Lepas ikan bukan spesies tempatan dalam tasik Shah Alam, MBSA tampil beri penjelasan selepas dikecam netizen