Lepas PM ziarah kubur, benarkan juga rakyat balik kampung ziarah ibubapa

Satu-satunya jasa Ismail Sabri Yaakob yang ada yang dapat dirasai rakyat setakat seminggu memegang jawatan Perdana ini ialah mendedahkan bahawa ziarah kubur bukan lagi perkara yang melanggar SOP.

Selama ini tiada siapa tahu atau dimaklumkan bahawa menziarahi kubur bukan lagi suatu perkara larangan.

Tetapi, berikutan Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri dan semalam beliau pulang ke kampungnya di Temerloh, Pahang untuk menziarahi pusara ayah dan ibunya yang telah meninggal dunia, Majlis Keselamatan Negara atau MKN lantas tampil membuat penjelasan.

Lepas PM ziarah kubur, benarkan juga rakyat balik kampung ziarah ibubapa

Di sebalik kritikan dan kecaman ramai terhadap tindakannya itu, Ketua Pengarah MKN, Radzi Md Saad berkata, ziarah kubur hanya dilarang ketika sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha semata-mata.

“Di luar daripada itu, aktiviti ziarah kubur masih boleh dilakukan oleh sesiapa asalkan mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan dan mencuci tangan.

“Yang penting, ia mestilah tertakluk dengan SOP am yang diterbitkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Dengan itu, tegas Radzi lagi, Ismail Sabri tidak melanggar sebarang SOP semasa melakukan ziarah kubur ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah, Temerloh Sabtu lalu.

Dalam hal ini, kalau Ismail Sabri tidak dilantik sebagai Perdana Menteri, bukan saja kita tidak tahu menziarahi kubur bukan lagi larangan, malah MKN pun tidak mungkin begini pantas tampil dengan penjelasannya.

Kalau sekadar sebagai menteri biasa menziarahi kubur ibu bapa, bukan saja tiada siapa peduli, bahkan ia juga bukan berita bagi pengamal media.

Jadi, inilah satu-satunya jasa Ismail Sabri setakat ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri yang boleh dikata dapat membawa sedikit kegembiraan kepada rakyat jelata yang sekian lama terkurung dalam kehidupan dek bermacam-macam PKP yang kini diteruskan lagi dengan empat fasa PPN pula.

Kepada yang sudah lama tidak berpeluang menziarahi kubur ibu bapa atau kaum keluarga yang disayangi, inilah masa untuk melakukannya.

Tetapi,, bagi mereka yang tinggal di ibu kota ini, sudah pasti kubur ibu bapa dan kaum keluarga yang disayangi itu terletak di kampung halaman masing-masing, sama seperti pusara ibu bapa Ismail Sabri juga yang terletak di Temerloh, Pahang.

Masalahnya ialah bagaimana mahu merentas negeri?

Kami sebagai rakyat biasa bukan seperti Perdana Menteri atau menteri yang boleh merentas negeri pada bila-bila masa ada rasa tergerak di hati.

Untuk itu, terlanjur Ismail Sabri telah membuat jasa pertama yang membolehkan rakyat sekarang ini bebas menziarahi kubur, adalah lebih baik dan terpuji jika beliau dapat menyusulinya dengan jasa yang seterusnya.

Untuk waktu terdekat ini, dua perkara yang boleh membuatkan rakyat gembira jika Ismail Sabri dapat lakukan ialah – melonggarkan PKP melalui PPN dan membenarkan semula pergerakan rentas negeri untuk semua.

Tidak bebas merentas negeri, walaupun boleh menziarahi kubur, semua itu tidak bermakna apa-apa.

Sekatan-sekatan jalanraya oleh pihak polis juga eloklah diberhentikan serta-merta kerana dengan banyak sektor ekonomi sudah dibuka, ia hanya menyebabkan kesesakan jalanraya saja.

Yang terpenting sekali dalam hal ini, Ismail Sabri harus membuktikan beliau berbeza dengan Mahiaddin yang hanya menjadikan tindakan mengurung rakyat untuk mengekalkan kuasanya.

Berilah kebebasan kepada kami rakyat jelata ini bebas ke mana-mana, selain majoritinya sudah disuntik vaksin, yang penting ialah menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

Tidak guna sama sekali bertukar Perdana Menteri, sudahlah susah dan rakyat tiada wang dalam poket, jika kebebasan bergerak pun masih sama dengan era yang lama.

Berita Penuh : https://shahbudindotcom.net/2021/08/29/selepas-berjasa-membenarkan-ziarah-pusara-lebih-terpuji-jika-ismail-sabri-benarkan-rentas-negeri-pula.html

BACA JUGA : Pilih Kasih : Orang ramai bengang tengok PM ziarah kubur

CATEGORIES