Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini mengumumkan bahawa ujian memandu litar secara automasi (eTesting) akan dilaksanakan mulai 1 April ini.
Dengan eTesting, pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak perlu lagi berada bersama calon dalam kenderaan semasa ujian.
Sebaliknya, mereka akan memantau dan memberi arahan melalui sistem elektronik dari bilik kawalan.
Pelaksanaan sistem eTesting membolehkan lebih ramai calon diuji dan meningkatkan integriti sistem ujian memandu. Walaupun eTesting hanya dilaksanakan untuk ujian di litar, calon masih akan ditemani oleh pegawai JPJ ketika ujian jalan raya.
Calon boleh memilih sama ada mahu mengambil ujian eTesting atau kaedah lama sehingga eTesting dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2030.
@Cikgu Azrul di TikTok telah memuat naik video untuk menerangkan bagaimana sistem eTesting berfungsi. Calon akan mengambil ujian memandu di litar dengan arahan pada skrin dalam kenderaan.
Seorang remaja telah menjadi individu pertama di Malaysia yang mendapat Lesen ‘P’ melalui eTesting JPJ. Ini disahkan melalui video di laman Facebook rasmi Anthony Loke.
Pelaksanaan eTesting memberikan beberapa manfaat kepada calon, termasuk peluang untuk mengulang ujian pada hari yang sama tanpa bayaran tambahan jika gagal.
Calon juga mendapat keutamaan dalam tempahan ujian dan rebat RM10 untuk pengeluaran Lesen Percubaan menerusi eTesting.