Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua yang membaca, mohon jasa baik admin untuk mengekalkan identiti ini menjadi rahsia antara kita.
Demi segala penciptaan di langit dan bumi, demi kehidupan didunia yang diikuti tangisan yang tiada henti
Di setiap titipan doa untuk belajar mengikhlaskan diri dan redha dengan setiap ujian yang berlaku.
Adik-beradik aku ramai ada 7 orang , mak ayah aku pun ada lagi . Tapi aku cuba pura pura bahagia dan kuat kata aku mampu dengan semua ini,
kawan kawan kata masing-masing mengimpikan jadi macam aku yang baik dari kaca mata manusia, bijak tu tak payah cakap lah bukan level biasa biasa top dari baby sampai alam university. Haha .
Tapi kehidupan aku di rumah tak sama macam orang nampak bahagianya tu kat luar, mak aku kakitangan kerajaan yang ada depression daripada dia muda lagi sebelum kahwin.
Keluarga mak aku ni pecah belah sikit jenis dalam drama suami pukul isteri, guna khidmat bomoh-bomoh, minum arak kesannya mak aku mengalami trauma dan depression yang teruk sehingga lah mak aku sakit masa kat university dan jumpa ayah aku lepastu kahwin.
Ayah aku pula seorang yang pandai berkata-kata dari dia muda memang orang kenal dengan kepetahan dia, tapi bila disalah gunakan maka sekarang ni ramailah orang kampung yang kenal ayah aku ni sebagai penipu, mulut manis janji habuk pun tak ada.
Contoh senang dulu ayah aku niaga insurans jadi banyaklah kisah sampai orang cari kat rumah semua dan ditambah ayah aku kahwin sorang lagi. Setiusaha dekat pejabat ayah aku niaga insuran dulu.
Katanya sebab mak aku sakit dan tak dapat jaga rumah dengan makan minum ayah aku, lepas risik-risik sebab mak aku tak dapat tunaikan hajat ayah aku yang dia impikan.
Tapi biasalah yang aku tak paham kenapa perempuan tu nak kahwin dengan ayah aku, dia nampak dan tahu macam macam susahnya kiteorang dulu yang hanya makan bubur dan catu bubur tu sebab takut beras habis takda makanan
. Boleh pula dia kata niat dia suci murni nak ajar kiteorang adik beradik memasak semua sebab nampak tak terurus.
Sepanjang aku kecik sampai besar, aku rasa boleh ingat 85% mak aku yang menanggung kiteorang dari bil api, air , rumah, kereta. Ya, kalau makcik bawang dia akan kata kenapa biarkan benda tu jadi bukan hanya sebab sayang kalau dalam perkahwinan ni tapi mak aku ni ada depression tak boleh buat keputusan, ayah aku pula mulut manis suka arah ini itu ini.
Kalau 15% tulah yang dia kata dia bagi nafkah dalam islam, aku tak setuju dimana keadilan undang-undang islam dalam bab nafkah isteri dan ayah aku suka buat pinjaman bank atas nama mak aku,
diatas loan ada loan untuk bisnes dia dan ayat biasanya nanti ayah aku akan bayar balik dan mak aku kena patuh untuk jadi isteri solehah, aku nak kata bertapa banyaknya hutang dengan bank sampai ada 8 akaun hutang kena bayar,
duit gaji mak aku tu banyak tapi kiteorang nak beli beras pun tak mampu sebab habis bayar hutang.
Ayat paling cliché orang melayu guna terutama ayah aku : Kau ni memang anak derhaka,mak aku ni isteri derhaka. Sampai segalanya dia ungkit hatta kalau dia bagi dan belikan makanan serta perjuangan dia jaga kiteorang semua dari kecik sampai jadi orang.
Tapi aku rasa aku ada sifat jadi manusia ni sebab aku fikir tentang agama walaupun aku pernah pikir nak pergi je dan memang aku pernah jalan menyeberang jalan raya masa ada kereta,
kot kot boleh lenyap terus dari muka bumi ni, tapi sebab takut masuk neraka. Hmmm dan aku nak ubah keadaan keluarga tu aku belajar lebih sikitlah.Hmmmm
Lepas ayah aku kahwin lagi satu, mak aku betul betul dah tak tahan pergi lari balik kampong dia dan tak pernah jejak ke negeri ayah aku lagi, kalau ikut ayah aku, dia cerita kat semua orang pasal penyakit mak aku lepastu kata takpelah mak aku tak sihat. Tapi hakikatnya mengata mak aku derhaka lari dari suami.
Hahaha kelakar ke apa, siapa je sanggup kena tanggung ayah aku dan bini dia lagi satu.
Lepastu ayah aku lah kena tanggung semua sekarang, maksudnya perbelanjaan mak tiri aku tu.Mmak aku memang menanggung kesedihan dan perbelanjaaan adik beradik aku dari dulu. Nak dijadikan cerita ayah aku kena serang strok.
Lepastu mak tiri aku ni pula jenis mak tiri dalam drama, nak cerita terlalu aib, haa korang bayangkan jelah yang jenis mengata isteri pertama iaitu mak aku lah.
Paling aku pelik dia ada anak dengan ayah aku dua orang tapi dia layan anak dia pun tak nak, marah marah je kerjanya, baby tu nak susu pun dia buat tak tau, asyik main handphone dalam bilik. Masa dia kerja dulu, dia balik kerja je kunci bilik, adik beradik aku yang kena jadi babysitter menjaga anak dia.
Yang buat aku terkenang sampai sekarang ayah aku, biasalah sayang bini kedua dulu, semua yang mak tiri aku buat betul, aku ni kira cop anak derhaka lah, sebab ada krisis lepastu mak tiri aku tuduh aku halau dia keluar dari rumah tu
. Aku ni punyalah baru nak berbaik memang membara api kemarahan syaitan tu bisik kat aku. Jadi sampai sekarang aku dendam. Salah ke aku ?
Lepas ayah aku sakit, tak lama lepastu mak tiri aku mintak cerai. Hahaha bab ni paling kelakar aku cakap ni mungkin sebab ayah aku punya azab, tapi aku bukan Tuhan, aku hanya hamba siapa aku nak mengatakan semua tu.
Sekarang ayah aku mengungkit dan mengharapkan anak anak menjaga dia, ayah aku dah tak sihat strok yang tak boleh gerak langsung, dan ayah aku pula sekarang doctor diagnos ada depression juga, aku tau sehina mana pun sejahat mana pun itu dulu, dan biarkan itu urusan ayah aku dengan Tuhan.
Aku cuba paham, tapi hati aku berat, ayah aku walaupun strok mulut dia masih berjalan macam biasa, mengarah orang marah marah buat itu buat ini. Aku tau kadang ayah aku cuma nak makan tapi bayangkanlah setiap 15 minit, itu belum ayah aku minta buat kerja lain dekat dia garu garu ke apa setiap masa.
Kira kena teman dia 24 jam kalau tak dicop anak derhaka, aku nak solat pun dia suruh depan dia, nak mandi pun kena bagitau siap kena mandi kat bilik air yang dia baring tu, nak ke dapur kena bagitau, senang kata setiap pergerakan. Aku penat, aku tak tahan, dan aku trauma.
Adik beradik aku 7 orangkan semua pandai pandai jenis dapat scholarship lah kalau tak siapa nak menanggung kitorang, kadang lebih rela berlapar dan puasa sebab duit takda nak makan.
Kakak aku dah kahwin sebab dia kahwin pun nak keluar dari masalah keluarga ni. Sekarang abang aku jadi korban jaga ayah aku, tapi dia pun mengeluh dan marah marah mungkin sebab penat dan tak redha kerana paksa dalam rela, yang lain masih belajar .
Aku selalu tertanya – tanya macam mana cara nak raih syurga dengan menjadi anak solehah. Aku tahu aku bukan anak solehah. Aku memang dah kena cop anak derhaka, nak jaga ayah aku yang sakit tu tapi hati aku tak ikhlas, aku buat sebab tuntutan agama je yang kata anak kena muliakan mak ayah.
Tapi aku tertanya tanya mana konsep keadilan dalam islam kalau semua salah ialah anak bukan pada mak ayah, kenapa anak yang derhaka bukan mak ayah.
Aku belajar solat dari sekolah, aku belajar mengaji dari ustazah dekat sekolah, aku cuba nak jadi seorang ‘Muslim’ tapi aku hanya mampu dengar lagu lagu nasyid, tazkirah melalui handphone.
Ayah aku walaupun dia tak kata tapi nampak dari riak muka dia tak suka dengar aku baca Quran, solat sunat dan lain lain yang bagi dia sunat. Yang wajib macam solat tu pun sebab wajib.