Pasangan suami isteri dari Stourbridge, England menerima berita menggembirakan selepas menemui bungkusan plastik
sampah yang berisi koleksi terhad mainan Star Wars bernilai 400,000 Pound Sterling (kira-kira RM2.17 juta).
Menurut laporan akhbar Times yang dipetik oleh AFP, koleksi mainan tersebut telah dibuang oleh jiran mereka.
Pada awalnya, pasangan tersebut tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan barangan tersebut.
Namun, anak lelaki mereka memanggil seorang pelelong dan mendapati bahawa koleksi mainan itu, termasuk figura, masih berada dalam keadaan baik di dalam bungkusan asalnya.
“Sebahagian dari koleksi itu dalam keadaan lembap, mungkin disebabkan cara penyimpanan, tetapi ia adalah koleksi Star Wars terbaik yang pernah saya lihat.
“Kami mempunyai ramai penggemar dan pengumpul dari seluruh dunia, dan kami berharap urusan jual beli akan berjalan dengan baik,” kata Chris Aston, pelelong yang terlibat.
Aston berkata beliau tidak pasti sama ada pasangan suami isteri tersebut teruja atau sebaliknya dengan penemuan tersebut.
“Saya tidak tahu sama ada mereka mempunyai sebarang perancangan, tetapi penemuan ini seolah-olah mereka baru memenangi loteri,” katanya.
Antara koleksi yang ditemui ialah figura Star Destroyer Commander yang dianggarkan bernilai 32,500 Pound Sterling (kira-kira RM176,542).
Selain itu, terdapat juga koleksi terhad Palitoy Jawa yang bernilai 27,280 Pound Sterling (kira-kira RM148,187), dan dipercayai hanya ada 10 unit sahaja di pasaran.
Di samping itu, terdapat satu set lapan figura Return of the Jedi yang dibeli pada harga 1.59 Pound Sterling (kira-kira RM8.60) pada tahun 1980-an, tetapi kini bernilai sekitar 1,400 Pound Sterling (kira-kira RM7,605).
BACa: Pelik tapi benar, wanita masih lagi mengandung 46 tahun tak lahirkan anak