Kos barangan binaan dan pertukangan yang semakin meningkat membuatkan sesetengah individu memilih untuk membina rumah impian mereka sendiri.
Walaupun prosesnya memakan masa yang lama, ramai yang berpuas hati kerana rumah yang dimiliki bebas daripada hutang.
Muhammad Ridzuan berkongsi pengalamannya di laman Facebook mengenai kos tinggi yang perlu ditanggung untuk membina rumah sendiri.
Beliau melaporkan bahawa asas rumah yang dibina sejak 2018 masih belum siap walaupun sudah enam tahun berlalu.
“Ini rumah saya, sudah bertahun-tahun tak siap. Dari 2018 lagi, sampai sekarang masih belum selesai.
Sudah tumbuh pokok dalam rumah, semalam saya mesin rumput dan buat sedikit kerja lantai supaya pokok tidak tumbuh lagi.
Nak sambung semua kerja, memerlukan RM80,000 juga, saya tak mampu,” luahnya dalam satu hantaran di media sosial.
Mengenang kembali proses awal pembinaan rumahnya, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini berkata, beberapa individu ada tampil untuk memberikan bantuan. Dia menerima sumbangan wang dari beberapa orang yang ingin meringankan bebannya.
“Masa bina rumah dulu, ada yang kononnya mahu tolong. Ada yang bagi RM50, RM10 dan RM100. Saya takut nak tolak sebab risau mereka kata saya tidak menghargai sumbangan tersebut, jadi saya terima saja,” ujarnya.
Namun, menerima ‘sedekah’ tersebut menimbulkan masalah apabila salah seorang pemberi sumbangan kini menyindirnya kerana rumah tersebut masih belum siap. Muhammad Ridzuan, yang berniaga nasi lemak, berkata individu tersebut mengungkit ‘pertolongan’ yang diberikan dan mendakwa dia menipu mengenai pembinaan rumah.
“Satu hari, yang bagi RM10 datang tengok rumah dan tanya kenapa tak siap lagi. Saya jawab tak ada duit nak sambung. Dia cakap sudah bagi duit hari tu, jadi nampak sangat penipu.
Saya bingung sekejap, bagi RM10 tapi nak suruh siap sebuah rumah. Saya tanya dia bagi RM10,000 ke? Dia ingat saya ‘menganjing’ sebab hanya bagi RM10,” katanya yang turut mengembalikan RM10 kepada individu tersebut.
Susulan kejadian tersebut, beliau menasihati pengikut media sosial supaya berhati-hati dengan sumbangan dari orang luar. Di ruangan komen, ramai pengikutnya memberi kata-kata sokongan dan mendoakan agar beliau berjaya menyiapkan rumahnya yang dibina atas usaha sendiri.
“InsyaAllah, tak lama siap tu. Akak ni hanya mampu sewa. Pelan-pelan buat, nanti siap. Rezeki ada tanah sendiri, buat sedikit-sedikit. Bagi RM10 tapi cakap macam tu? Eloklah diberi balik duit dia tu.
Rezeki datang daripada Allah. Kita kena yakin, berusaha, berdoa, dan bertawakal,” ujar beberapa warga maya.
BACA: Pak Ya umum bersara dari dunia hiburan, berhasrat jadi mutawif