Lelaki nekad buat laporan palsu dakwa kereta dicuri, rupanya nak claim insuran

Oleh MUHAMMAD KHAIRY JALALUDDIN

Seorang lelaki tempatan berusia 40-an sanggup membuat laporan palsu mengenai kes kecurian kereta Audi untuk tujuan mendapatkan tuntutan insurans.

Pada 21 Disember lalu, lelaki tersebut telah membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau pada jam 3.14 pagi,

Dan mendakwa dirinya menjadi mangsa samun sehari sebelumnya, menurut kenyataan rasmi Polis Daerah Rembau.

‘Mangsa’ mendakwa bahawa pada 20 Disember, sekitar jam 10.22 malam, dia telah ditahan oleh dua individu tidak dikenali yang merampas barang peribadi serta melarikan kereta jenis Audi.

“Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan. Namun, hasil siasatan dan soal siasat lanjut terhadap ‘mangsa’ mendapati kejadian yang dilaporkan adalah palsu.

Lelaki nekad buat laporan palsu dakwa kereta dicuri, rupanya nak claim insuran

“Lelaki tersebut membuat laporan palsu dengan niat untuk membuat tuntutan insurans ke atas kereta Audi tersebut.

“Siasatan lanjut terhadap kes ini diteruskan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 6 bulan, denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali,” kata Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadir Bin Shaik Mohamed.

Tambah beliau, pihak polis menyeru orang ramai agar tidak membuat laporan palsu yang boleh memberi impak negatif, sehingga menjejaskan ketenteraman awam di daerah Rembau.

BACA: 70 jam rundingan, Volkswagen batal pemotongan gaji 10% raih pujian