Lelaki luncur udara terbabas, sangkut atas pokok lebih 10 jam. Penggemar sukan luncur udara (paragliding) yang tersangkut lebih 10 jam di sebatang pokok, di Bukit Kokol, Menggatal, di sini, sejak tengah hari semalam, berjaya diselamatkan, malam tadi.
Mangsa, lelaki berusia 35 tahun yang tersangkut di pokok setinggi 30 meter itu berjaya dibawa turun pada jam 10.13 malam oleh pasukan operasi bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa yang berjaya diturunkan didapati mengalami beberapa kecederaan ringan di badan.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya mengiringi mangsa ke pos kawalan yang terletak sejauh dua kilometer dari lokasi mangsa terjatuh dan tersangkut.
“Mangsa seterusnya diberi rawatan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di pos kawalan sebelum dihantar ke rumah penginapan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah malam.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari semalam, mangsa yang melakukan aktiviti luncur udara dipercayai gagal mengawal payung terjun kendaliannya sebelum tersangkut di atas pokok berkenaan.
Pasukan bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 12.12 tengah hari kemudiannya mengerahkan 22 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) ke lokasi mangsa tersangkut.
Operasi menurunkan mangsa berjaya dilakukan dengan bantuan peralatan dron daripada kelab Dron D’Bayu yang turut hadir membantu di lokasi.
Difahamkan, dron berkenaan digunakan untuk menghantar tali dan peralatan diperlukan kepada lelaki terbabit sebelum operasi menyelamatkan mangsa dijalankan.
BACA:
Pasangan dari Kedah kena cekup bersama dalam hotel, ‘kenal tak sampai 24 jam..’
Terkini !!! Gangguan elektrik besar-besaran dilapor berlaku hari ini
Rogol pembantu rumah, mahkamah jatuhkan hukuman kepada Adun Tronoh