Lelaki ini dah ramal Turki akan alami gempa bumi dasyat beberapa hari lebih awal. Seorang penyelidik yang mengkaji aktiviti seismik dilaporkan sudah meramalkan gempa bumi kuat akan berlaku di Turkiye beberapa hari sebelum bencana menimpa, lapor laman berita Wion News.
Penyelidik Kajian Geometri Sistem Suria (Ssgeos), Frank Hoogerbeets memuat naik kenyataan di laman Twitter pada 3 Februari lalu bahawa satu gempa bumi kuat berukuran sekitar 7.5 pada skala Richter akan berlaku tidak lama lagi.
Kenyataan sama menyebut bahawa gempa yang dimaksudkan diramal berlaku sekitar Selatan-Tengah Turkiye, Jordan, Syria dan Lebanon.
Dalam kenyataannya, Hoogerbeets turut berkongsi peta menandakan kawasan yang diramal terjejas.
Hantaran di Twitter itu kini tular dan menyebabkan ramai pengguna media sosial terpegun.
Selepas gempa bumi berlaku, Hoogerbeets memuat naik satu lagi hantaran menyatakan bahawa beliau bersedih dan bersama-sama semua mangsa yang terjejas akibat bencana itu.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, tidak lama lagi gempa bumi akan berlaku di rantau berkenaan.
“Gempa bumi ini sentiasa didahului oleh geometri planet kritikal seperti yang kita alami pada 4 dan 5 Februari 2023,” katanya.
Susulan tragedi itu, masyarakat antarabangsa segera menawarkan bantuan dengan banyak negara menghantar petugas penyelamat dan kemanusiaan.
Presiden Recep Tayyip Erdogan menyifatkan gempa kelmarin sebagai bencana bersejarah dan gempa paling buruk melanda Turkiye sejak 1939, namun berkata, kerajaan sedang melakukan sedaya upaya untuk menghulurkan bantuan.
BACA:
Duit RM28K tiba-tiba masuk dalam akaun CIMB lelaki ini- “entah dari mana lah”