Langkah Anwar : Sebuah kebenaran dan kepalsuan

Langkah Anwar : Sebuah kebenaran dan kepalsuan

Tular katanya surat daripada Anwar Ibrahim sendiri dan daripada Zahid Hamidi yang ditujukan kepada Yang DiPertuan Agung, perihal sokongan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri. Benar atau palsu? Kalau benar surat-surat itu sepatutnya bertaraf rahsia, di antara Anwar dan YDPA, maka siapa yang membawanya keluar dari pejabat istana? Kalau palsu pula, ia kerja jahat siapa?

Walaupun palsu, yang benarnya begitulah. Maksudnya tiada senarai Ahli Parlimen yang dipersembahkan Anwar kepada YDPA, yang ada ialah surat sokongan daripada ketua-ketua parti dan/atau surat sokongan daripada ketua kepada blok-blok ahli parlimen tertentu. Maka saya terfikir, mereka yang membuat laporan polis menafikan mereka ada dalam senarai itu mengguna-pakai senarai mana? Kalau mengguna senarai yang pelbagai yang tular di media sosial, ia jelas senarai palsu. Lalu bukankah laporan polis itu menjadi laporan polis palsu bila menggunakan rujukan palsu? Mengapa mereka yang membuat laporan polis itu tidak disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan? Mengapa Anwar yang dipanggil polis sedang bukan dia yang membuat dan menyebar senarai itu? Peliknya tiada pula yang mahu buat laporan polis tentang satu senarai katanya kabinet baru Muhyiddin…

Bila Anwar memberitahu bahawa dia ada sokongan majoriti yang kuat dan meyakinkan, dia diperlekeh oleh kalangan pembencinya, konon katanya Anwar bermimpi, Anwar membina strategi kubu kosong. Kalau benar kubu Anwar kosong, mengapa sebaik sahaja Anwar mengumumkannya Anwar diserang bertalu-talu! Tidak cukup dengan senapang patah, senapang automatik, “general purpose machine gun,” bom tangan, periuk api, pelancar roket, meriam bahkan hingga ke gabungan serangan darat, udara dan air, serangan yang tidak henti-henti hingga hari ini, sepertinya di kubu Anwar ada sejuta bala tentera. Tetapi itulah Anwar Ibrahim, hebat orangnya, dalam hujan peluru dia keluar bergaya tegap dan teguh dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk meraikan petugas media.

Diserang bertalu-talu pun, Anwar tetap pergi menghadap YDPA, sampai menghadap Agung masih ada yang mempertikai cukup-bilang Anwar. Mari kita mempersoalkan peristiwa-peristiwa ini, supaya kita jadi manusia yang berfikir. Tidak kiralah Tengku Razaleigh Hamzah itu berada di kem mana, mengapa beliau masuk menghadap Agung selepas Anwar menghadap? Dan yang buat saya menggaru kepala sepuluh kali ialah, kenapa selepas Ku Li menghadap, semua panggilan menghadap kepada Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan Zahid Hamidi dibatalkan (ditangguhkan)? Alasan PKPB dan Covid 19 digunakan. Kalau benar alasan itu, mengapa mereka bertiga ini tidak diberi peluang menghadap melalui aplikasi atas talian seperti mana perkenan menghadap cara sama yang diberi kepada Muhyiddin? Apakah ini kaedahnya untuk mendedah kepalsuan Anwar? Atau kaedah untuk menutup kebenarannya?

Walau seribu kali cuba dinafikan, ketakutan kepada kemaraan palsu/benar Anwar Ibrahim ini nyatanya semakin jelas dan merebak. Kebelakangan ini, cakap-cakap tentang opsyen pembubaran parlimen dan perlantikan PM interim mula kedengaran, bukan hanya oleh ahli-ahli politik, tetapi oleh yang dikatakan tokoh agama juga. Dahulu, ketika tiada Perdana Menteri (keinteriman), kaedah akuan bersumpah dan masuk menghadap seorang demi seorang ahli parlimen digunakan, hasilnya? Tiada hasil kerana katanya tiada seorang pun calon PM yang mendapat sokongan majoriti mudah. Akhirnya kaedah memanggil hanya ketua-ketua parti politik yang mempunyai ahli parlimen dan ketua-ketua blok bebas/persendirian diguna-pakai. Mereka masing-masing membuat akuan siapa calon PM yang mereka sokong (dengan andaian mereka akan mampu mempengaruhi ahli-ahli parlimen di bawah mereka mengikuti keputusan mereka). Inilah cara yang menaikkan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Lalu mengapa, bila Anwar Ibrahim cuba mengambil jalan yang sama, pelbagai permasalahan timbul? Mengapa palsu-benar diperdebatkan? Lebih dari itu, mengapa proses mengesahkan apa yang diakukan Anwar itu seperti dilambat-lambatkan, seperti sengaja memberi masa untuk cakap-cakap tentang pilihan lain yang jelas mengarut itu kedengaran? Apa itu Anwar Ibrahim? Apa yang mereka takut sangat tentangnya?

Usul undi tidak percaya kedengaran kembali. Selepas tersebar surat usul Ku Li kepada Speaker Dewan Rakyat, Dr. Mahathir bin Mohamad dan juak-juak pejuang dan afiliasinya tanpa malu cuba menjadi hero memanaskannya, berbondong-bondong menghantar surat yang sama. “Kita berpendirian sama” cuba digunakan untuk menarik Ku Li bersama mereka, takut-takut Ku Li beralih kepada Anwar. Soalnya apa tujuan mereka dalam keadaan Anwar sedang berusaha menubuhkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil tanpa itu semua? Tujuannya terang, tidak lain tidak bukan adalah untuk memintas Anwar. Pertama, cara ini akan menjahatkan Keadilan dan Anwar kerana tidak menyokong mereka, kedua kalaulah cara ini boleh berjaya, maka Mahathir sendiri (bukan Ku Li) akan mengepalai Langkah Sheraton kali kedua, bukan sekadar mahu menjatuhkan Muhyiddin, tetapi lebih penting bagi mereka adalah memotong kaki Anwar. Saya gembira kerana Anwar tidak terikut dengan rentak ini.

Mengapa saya kata membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya umum pada waktu ini adalah pilihan mengarut. Pertama kerana Pilihanraya Negeri Sabah sudah mengajar kita, bahawa pilihanraya dalam keadaan wabak sedang merebak adalah pilihan yang salah, kita cakaplah tentang pilihanraya dengan kempen paling minimum pun, ia sukar untuk memberi keadilan kepada pihak-pihak yang bertanding, melainkan ketika tempoh berkempen, media-media perdana dibahagikan sama-rata kepada pihak yang bertanding. Bagaimana pula tentang pengundian? Haruskah ia dibuat secara dalam talian? Akan timbul pula tentang isu integriti dan ketelusan penjaga “server” utama. Akhirnya, jika pilihanraya umum berlangsung juga, dan kemudiannya wabak Covid 19 semakin merebak, percayalah orang yang akan dipersalahkan adalah Anwar Ibrahim. Mereka akan berkata ini semua salah Anwar, yang galak sangat mahu menjadi PM, mereka lupa pilihanraya tidak akan berlaku kalau mereka tidak galak menghalang Anwar (menjadi PM dengan cara lain yang lebih selamat dan sah).

Begitu juga dengan pilihan perlantikan PM Interim sehingga PRU Ke-15. Kenapa perlu PM Interim bila kedudukan dan dakwaan Anwar bahawa dia punya sokongan majoriti yang kukuh yang boleh disahkan melalui proses yang betul (jika ada kemahuan)? Mengapa perlu PM Interim jika seorang PM yang sah boleh dilantik? Kalau jujur cadangan itu mengapa mereka tidak berani mencadangkan Anwar yang dilantik sebagai PM Interim? Sebabnya mereka memang tidak mahukan Anwar, mereka takutkan Anwar, mereka akan menghalang dengan apa cara sekalipun. Lebih dari itu, saya memang tidak bersetuju dengan perlantikan PM Interim, kerana PM Interim tidak wujud sama ada dalam Perlembagaan atau pun secara konvensyen. Yang paling hampir adalah “caretaker government,” ia sebuah kabinet kerajaan, maksudnya ada PM “caretaker” dan ada menteri-menteri “caretaker.” Sedangkan ketika Mahathir dilantik sebagai PM Interim, tiada perlantikan jemaah menteri interim. Sebab akan timbul isu perlembagaan, bolehkah seorang PM Interim menasihati Agung untuk melantik menteri. Kedua ketika Agung melantik Muhyiddin sebagai PM tidak timbul isu PM sedia ada, kerana PM Interim tiada status undang-undang.

Saya mahu menutup catatan saya kali ini dengan pesanan. Bahawa dalam pembelajaran sejarah Islam, serangan binatang-binatang kecil dalam jumlah yang besar adalah biasanya hukuman atau peringatan tentang kesombongan kita. Seperti serangan hama, belalang, katak dan kutu di zaman pemerintahan Firaun. Juga seperti nukilan kisah tentera bergajah Abrahah yang ditumbangkan oleh serangan gerombolan burung-burung kecil, difirmankan Allah dalam Surah Al-Fiil, maksudnya:

1. Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?

2. Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?

3. Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, –

4. Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, –

5. Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

Logiklah jika kita lihat negara yang mencatat kes Covid 19 paling tinggi di dunia hari ini adalah Amerika Syarikat, negara paling sombong di dunia. Malaysia? Kita sedang berdepan dengan gelombang ketiga yang sangat membimbangkan. Semalam sahaja berapa kes kita? 869 kes! Petunjuk apa lagi yang Muhyiddin tunggu? Oh ya… pemimpin yang sombong tetap dengan kesombongannya, tanpa merasa apa-apa, walaupun mulutnya manis.

Wallahua’lam.

Zukri Aksah
Ketua Komunikasi Nasional
Gerakan Reformasi 98 – GERAK 98

Sumber :

KEBENARAN DAN KEPALSUANTular katanya surat daripada Anwar Ibrahim sendiri dan daripada Zahid Hamidi yang ditujukan…

Posted by Zukri Aksah on Saturday, October 17, 2020

 

COMMENTS