Pelawak Lan Solo, atau Mazlan Ahmad, 56, tidak dapat menahan sebak ketika membuat reviu restoran baharu miliknya tanpa kehadiran rakan seperjuangan, Allahyarham Man Kulim.
Dalam hantaran video di TikTok pada Ahad, Lan mengakui ini adalah kali pertama dia menjalankan promosi restoran tanpa kelibat arwah, yang dianggap seperti adik sendiri.
“Selalunya saya buat reviu mula-mula dengan arwah Man Kulim. Untuk 10 cawangan sebelum ini, kami lakukan bersama-sama.
Tapi kali ini, untuk cawangan ke-11, saya terpaksa buat seorang diri,” katanya dengan nada penuh emosi.
Lan turut meluahkan rasa rindunya terhadap Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang sahabat sejati.
“Man, hang tinggal aku… Dia orang yang baik, sememangnya adik saya yang terbaik,” tambahnya, sambil menyeru orang ramai untuk mendoakan kesejahteraan arwah di alam abadi.
Kerinduan yang Takkan Terubat
Lan juga berkongsi rasa rindu mendalam terhadap sahabatnya yang telah pergi menghadap Ilahi.
“Kerinduan yang tak akan terubat adalah bila kita merindui sahabat yang sudah kembali kepada-Nya. Apapun, jangan lupa sedekahkan al-Fatihah buat arwah,” ujarnya lagi.
Kehilangan yang Dirasa
Allahyarham Man Kulim, atau nama sebenarnya Burhan Che Mokhtar, meninggal dunia pada 24 Disember 2024.
Jenazahnya disemadikan di kampung halamannya di Kuala Muda, Kedah. Kepergian arwah meninggalkan kesan mendalam kepada Lan dan mereka yang mengenali keperibadiannya yang baik.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.
BACA: Restoran tak pernah basuh periuk, guna kuah sup yang sama sejak 50 tahun berniaga