Lama menyepi dalam industri seni, Waheeda umum bakal buat comeback

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Pada pertengahan tahun 2000-an, satu lagu tempatan menjadi siulan ramai bahkan lagu ini boleh dikatakan antara exposure terawal

Bagi muzik bergenre pop etnik atau world music di Malaysia.

Lagu yang dimaksudkan ialah Wassini yang dicipta oleh Yasin Sulaiman dan didendangkan oleh Waheeda.

Lama menyepi dalam industri seni, Waheeda umum bakal buat comeback

Wassini merupakan lagu yang melonjakkan nama Waheeda dalam industri seni tanah air dan ianya juga berjaya mendapat tempat sebagai finalis dalam Anugerah Juara lagu (AJL) ke 18.

Pun begitu pada tahun 2009, setelah berkahwin dengan penyanyi dan penceramah terkenal, Akhil Hayy, Waheeda berehat seketika dari industri hiburan dan hanya melakukan kerja-kerja di belakang tabir.

Bagi yang merindui karya-karya Waheeda, dia baru sahaja membuat kejutan dan mengumumkan akan kembali aktif dalam industri muzik, lagu terbarunya dijangka bakal dikeluarkan pada awal tahun 2024.

Menurut laporan Gempak, penyanyi lagu Wassini itu difahamkan ingin menyebarkan ilmu menerusi muzik ciptaannya.

“Untuk kehadiran semula ini, saya membawa matlamat untuk menjadikan karya-karya muzik yang saya hasilkan sebagai medium utama untuk menyebarkan ilmu.

Saya juga ingin berkongsi ruang yang ada dengan bakat-bakat seni tanah air yang mana sudah lama mencuba nasib untuk menembusi pasaran semasa, saya buka ruang untuk mereka berkongsi karya seni.

Saya menyimpan impian untuk melihat hasil kerja seni saya dan anak-anak Malaysia lain berkembang dan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Selain itu, dia juga berkata dia terbuka untuk bekerjasama dengan pengkarya seni dari luar negara dalam mengembangkan lagi pengaruh muziknya.

Difahamkan, sepanjang tempoh dia berehat, Waheeda banyak mengasah bakat dalam instrumen muzik lain seperti biola dan juga memperbaiki kemahirannya dalam bermain piano.

Dua album utamanya iaitu Binafsha dan Melodi Ahlan kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.

Wah, tak sabar nak dengar karya terbaru Waheeda!