Lagi masjid diarah tutup, jemaah positif Covid-19

Lagi masjid diarah tutup, jemaah positif Covid-19

Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini ditutup selama tiga hari bermula hari ini berikutan seorang jemaah lelaki yang menunaikan solat di masjid tersebut disahkan positif Covid-19.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, masjid berkenaan ditutup sehingga 20 Disember bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan nyahkuman.

“Pesakit ini merupakan jemaah tetap di masjid ini. Sebaik saja keputusan calitan beliau positif, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengarahkan masjid ini ditutup serta-merta untuk disanitasi.

“JKNT juga akan melakukan pengesanan kontak rapat pesakit bagi mengekang penularan wabak ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Selasa lalu, Masjid Kampung Atas Tol di sini juga ditutup selama tiga hari berikutan terdapat jemaah yang menunaikan solat di masjid berkenaan positif Covid-19.

Sehingga semalam, Terengganu merekodkan 281 kes positif Covid-19. Daripada jumlah itu sebanyak 42 adalah kes aktif.

Sebanyak 41 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Satu lagi kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) HSNZ dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/115405/KHAS/Covid-19/Lagi-masjid-ditutup-jemaah-positif-Covid-19

COMMENTS