Pengunjung di sekitar Tasik Shah Alam, Seksyen 7, diingatkan agar tidak mendekati kawasan tebing tasik berikutan penemuan seekor buaya di kawasan tersebut.
Kehadiran reptilia yang dianggarkan sepanjang lebih satu meter itu telah disahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor semalam.
Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Azhar Sharif, berkata Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA
dan Perhilitan Selangor telah memantau kawasan tasik dan mendapati buaya tersebut masih berada di situ.
“Buaya tersebut mungkin tersesat akibat hujan lebat dan banjir kilat yang berlaku baru-baru ini.
“Kami telah memasang pita keselamatan di sekitar tebing tasik. Jadi, sebelum arahan penutupan rasmi diumumkan, kami menasihatkan orang ramai untuk menjauhi tebing tasik,” kata Azhar ketika ditemui hari ini.
Beliau juga menjelaskan bahawa Perhilitan akan mengambil tindakan dengan memasang umpan untuk menangkap buaya tersebut.
“Pernah ada kes buaya sesat di sini sebelum ini. Arahan rasmi untuk menutup tasik ini akan dikeluarkan oleh Datuk Bandar hari ini,” tambahnya.
Untuk rekod, seekor anak buaya tembaga sepanjang 0.6 meter pernah ditemui di pam air tasik tersebut pada tahun 2019.
BACA: Ayah senyum bila anak melukis dan mewarna sebuah kereta proton Saganya