KWSP: Satu pertiga miskin bandar tiada caruman baharu

KWSP Satu pertiga miskin bandar tiada caruman baharu

KWSP: Satu pertiga miskin bandar tiada caruman baharu.Sudahlah memilih untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pekerja ketika ini langsung tidak mempunyai caruman KWSP.

Itu realiti yang mendepani satu daripada tiga responden yang dinyatakan dalam Laporan Meniti Titian Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi yang diterbitkan pada Jumaat.

Malah, kajian itu turut mendapati 57.9 peratus responden telah mengeluarkan KWSP sebelum mencapai had umur pengeluaran mereka.

“Perkara ini sangat membimbangkan kerana perlindungan masa hadapan sangat penting bagi meneruskan kehidupan di hari tua nanti.

“Situasi semasa mereka yang terjejas amat kritikal pada masa hadapan jika tiada intervensi khusus dilaksanakan,” menurut laporan tersebut.

KWSP: Satu pertiga miskin bandar tiada caruman baharu

Laporan itu turut menyebut, 64.9 peratus daripada golongan yang terkesan akibat kenaikan harga barangan terdiri daripada mereka yang bekerja di sektor swasta dan sektor tidak formal, termasuk bekerja sendiri.

Selain itu, kebanyakan mereka, iaitu 56.9 peratus responden, yang terkesan akibat kenaikan harga ketika ini, tidak mempunyai sebarang perlindungan sosial seperti KWSP, Perkeso dan lain-lain.

Ia memberi cerminan bahawa kumpulan isi rumah yang terjejas menghadapi risiko apabila mereka menyertai sektor pekerjaan yang tiada perlindungan sosial serta simpanan masa hadapan, sekali gus akan menyebabkan ketidaktentuan kepada persediaan menghadapi hari tua, memetik laporan itu.

Kajian dalam kalangan kelompok berpendapatan B40 dan M40 ini adalah hasil kerjasama strategik antara Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia, Astro Awani dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) dalam membantu menambah baik instrumen dasar menangani kos sara hidup.

Cerapan data menerusi kaedah purposive sampling pada 23 dan 24 Julai lalu melibatkan 120 sampel dijalankan di 27 penempatan di Lembah Klang dengan 18 daripadanya adalah isi rumah yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Kerajaan sebelum ini menyatakan iltizam untuk terus menyalurkan pelbagai bantuan dan subsidi kepada rakyat dalam mengharungi kesan inflasi dan kenaikan harga barang ketika ini.

Selain memperkenalkan subsidi baharu yang tidak termasuk dalam Bajet 2022, iaitu bagi ayam dan telur serta elektrik, kerajaan turut memperuntukkan anggaran subsidi RM37.3 bilion bagi petrol, diesel dan LPG berbanding RM13.2 bilion pada tahun lepas.

Malah, anggaran subsidi minyak masak kini mencecah RM4 bilion, berbanding RM2.2 billion tahun lalu selain subsidi kepenggunaan lain dengan anggaran perbelanjaan RM9.7 bilion berbanding hanya RM1.1 bilion tahun sebelumnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2 ditambah baik dengan Bantuan Tunai Tambahan bernilai RM630 juta, dengan jumlah peruntukan keseluruhan BKM sebanyak RM8 bilion.

Ia sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang memerlukan dan seterusnya memberi impak yang tinggi kepada rakyat serta merancakkan ekonomi melalui aktiviti perbelanjaan.

BACA:

Melaka tarik balik kebenaran solat jumaat

Babak peluk Emma dan Shah: “Tak mahu tengok, kau tonton tv Al-Hijrah je” – Pengarah

Suami bongkar pengantin perempuan curang dengan ipar di majlis kahwin, siap tayang video

CATEGORIES