Kurang seminggu sebelum SPM baru TV Didik dilancar, keluh pelajar

Kurang seminggu sebelum SPM baru TV Didik dilancar, keluh pelajar

Sebilangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengkritik pelancaran rangkaian pendidikan DidikTV semalam, dengan berkata, ia sudah terlambat bagi mereka.

Nurul Rifayah, seorang pelajar di Selangor, bertanya mengapakah kerajaan memutuskan untuk melancarkannya kurang seminggu sebelum mereka menduduki kertas pertama peperiksaan itu yang akan diadakan pada hari Isnin.

“Saya rasa ia harus dibuat lebih awal,” katanya kepada FMT.

“Sebilangan besar kami sekarang fokus pada format menjawab dan melihat kertas (peperiksaan) tahun-tahun lepas.”

Beliau berkata, sudah terlambat untuk berusaha mendapatkan pengetahuan baru.

Tambahnya, beliau berharap ahli politik yang bertanggungjawab bertindak pantas untuk mengatasi masalah pelajar SPM seperti yang dihadapi dengan isu pelajar universiti yang mendaftar untuk menjadi “sugar baby”.

Beliau berkata, tindakan diambil hanya dalam masa beberapa hari sejak kes itu didedahkan.

“Mereka kata mereka mendengar masalah kami, tetapi tiada siapa dalam kerajaan yang membuat komen berhubung gerakan #SuaraPelajar setakat yang saya tahu,” tambahnya.

Justin Cheng Tye Wai, seorang pelajar di Ipoh, berkata, saluran DidikTV yang dikhaskan itu sepatutnya dimulakan tahun lepas kerana pelajar tidak dapat menghadiri kelas secara fizikal ketika sekolah dibuka semula pada 20 Jan.

Katanya, beliau kecewa kerana program DidikTV telah menggantikan sebahagian besar kandungan rancangan NTV7, yang kebanyakannya sering ditonton oleh keluarganya.

Cheng juga berkata, beliau tidak akan menonton kandungan di DidikTV kerana telah hilang motivasi untuk belajar, terutama sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) baharu dilaksanakan.

“Saya hanya mahu peperiksaan berakhir. Ini adalah tempoh pelajar SPM berehat atau bersiap-siap untuk memasuki universiti. Namun di antara kami sudah pun berusia 18 tahun dan masih bersekolah di sekolah menengah. ”

Namun, Durrah Batrisyia, yang belajar di Kuala Lumpur berkata, beliau mengikuti DidikTV sejak siaran terhadnya di NTV7 semasa perintah sekatan tahun lalu dan mendapati kandungannya bermanfaat.

“Perbezaan program seperti program DidikTV dan bengkel secara bersemuka ialah, anda tidak perlu mengheret pembelajaran selama mana yang anda mahu kerana masa yang diperuntukkan untuk setiap program terhad,” katanya.

“Oleh itu, segala yang keluar dari mulut guru adalah tepat dan jelas. ”

Katanya, tidak pernah ada konsep terlambat untuk membuat persediaan, terutamanya bagi peperiksaan penting.

DidikTV akan menyiarkan program berdasarkan kurikulum dan kokurikulum Kementerian Pendidikan (KPM) bersama-sama dengan program edutainment dan kandungan yang dihasilkan oleh pelajar.

Siaran harian bermula dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam.

Menteri Pendidikan, Radzi Jidin berkata, fokus semasa adalah untuk menolong calon SPM bersiap sedia menghadapi peperiksaan minggu depan.

Beliau berkata, pelajar akan mengikuti pembelajaran daripada guru yang berpengalaman.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/18/sudah-terlambat-untuk-dapat-manfaat-daripada-didiktv-kata-pelajar-spm/