Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, menegaskan bahawa tidak ada bukti kukuh
yang menyokong dakwaan bahawa bandar raya ini tidak selamat untuk diduduki, seperti yang dilaporkan oleh media sosial.
Maimunah berkata Kuala Lumpur telah lama dibangunkan dan sebarang dakwaan mengenai keselamatan pembangunan perlu disertakan dengan bukti serta kajian yang mendalam.
“Saya berpendapat Kuala Lumpur telah lama dibina dan selama ini ia selamat.
Oleh itu, jika ada yang mengatakan ia tidak selamat, mestilah disertakan dengan bukti kukuh dan kajian terperinci.
“Sehubungan itu, kami telah menubuhkan pasukan petugas termasuk Jabatan Geologi dan Jabatan Kerja Raya untuk menilai dan mengkaji keadaan ini
. Namun, berdasarkan keadaan semasa, Kuala Lumpur masih selamat kecuali terdapat bukti kajian yang menyatakan sebaliknya,” katanya dalam sidang media di Jalan Masjid India semalam.
Hadir sama adalah Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy, dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK), Narendran Maniam.
Beliau menjelaskan bahawa pasukan petugas yang terdiri daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), serta Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diaktifkan.
Maimunah juga memberi jaminan bahawa hasil mesyuarat penyelarasan bersama pelbagai agensi yang berkaitan menunjukkan bahawa situasi di sekitar Jalan Masjid India dan Kuala Lumpur secara umumnya adalah terkawal dan selamat untuk dikunjungi.
Sebelum ini, sebuah hantaran di Facebook yang dimuat naik oleh seorang aktivis alam sekitar pada tahun 2015 mendakwa bahawa Kuala Lumpur adalah tempat yang paling tidak selamat di Malaysia dan berpotensi mengalami ‘giant sinkhole’ pada bila-bila masa.
Hantaran tersebut menyebut bahawa 40 hingga 60 peratus dasar Kuala Lumpur adalah batu kapur dan pembangunan yang tidak teratur bersama sistem saliran yang tidak tersusun boleh mempercepatkan kejadian tersebut.
BACA: 2 lelaki berputih mata, tak sempat seludup 200 kotak minyak masak bernilai RM62,700