‘Kuahnya harus pekat..’ Food reviewer Indonesia buktikan nasi kandar Malaysia tak berpasir

Oleh DAHLIA MARZUKI

Pada bulan lalu, media sosial kecoh mengenai juara Masterchef Indonesia Musim Ke-5 yang mendakwa nasi kandar di Malaysia terasa berpasir.

Dia kemudiannya mencipta nasi kandar tersendiri yang dikatakan jauh lebih baik daripada yang ditawarkan di sini.

Susulan itu, ramai yang tertanya-tanya bagaimana ada rasa berpasir dalam nasi kandar yang selama ini dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Seorang food influencer dari Indonesia yang dikenali sebagai Mas Rio ingin mencari kebenaran tentang dakwaan adanya rasa ‘berpasir’ dalam nasi kandar

Dia terus ke kedai nasi kandar tertua di Malaysia untuk merasai juadah nasi kandar yang sebenar, yang memiliki resepi turun-temurun.

'Kuahnya harus pekat..' Food reviewer Indonesia buktikan nasi kandar Malaysia tak berpasir

Di dalam video tersebut, Mas Rio sempat menyoal salah seorang pengendali kedai nasi kandar Hameediyah mengenai isu tersebut.

Wanita itu hanya berseloroh menidakkan dakwaan itu dan menyambut kedatangan Mas Rio dengan memberikan gabungan lauk pauk serta pelbagai kuah untuk menikmati nasi kandar yang asli.

@riomakan Replying to @aby_Arshila hmmmm jangan risau, saya ini jago makan nasi kandar. Ga ada rasa berpasir kok, apalagi nasi kandar @hameediyahkl rasanya SURRR! 😎😎 #nasikandar #nasikandarberpasir #masterchefindo #nasikandarmasterchef #terkandarkandar #hameediyah ♬ original sound – Mas Rio

Mas Rio memulakan dengan mencuba sotong viral yang diberikan, dan ternyata ia memang sedap dan lembut. Setelah melihat rupa kuah yang memenuhi nasi itu, dia segera menegaskan bahawa inilah kuah yang sebenar, bukan yang cair seperti yang ditawarkan oleh Masterchef Indonesia di restoran baharunya.

Malah, dia mempersoalkan di manakah rasa berpasir yang didakwa oleh chef terkenal tersebut, kerana dia tidak merasai sebarang rasa sebegitu sepanjang menikmati nasi kandar tersebut. Dia juga menambah bahawa nasi kandar yang sebenar perlu menggunakan telur rebus dan bukannya telur mata.

Katanya lagi, nasi kandar adalah makanan tradisional Malaysia dan Hameediyah adalah kedai nasi kandar tertua di sini, yang sekaligus membuktikan tiada rasa berpasir seperti yang didakwa sebelum ini.

Kesimpulannya, Mas Rio berpendapat nasi kandar Malaysia bukan sahaja lazat, tetapi juga tidak mempunyai rasa berpasir. Dalam kapsyen, Mas Rio turut menyatakan bahawa dia sangat mahir dalam memakan nasi kandar dan tidak merasai apa yang didakwa oleh Masterchef Indonesia.

Melihat ke ruangan komentar, netizen tempatan meminta Mas Rio untuk mencuba nasi kandar ciptaan Indonesia bagi menentukan nasi kandar siapakah yang paling sedap.

Mari kita lihat sama ada Mas Rio bersedia untuk membuat ulasan jujur terhadap hidangan nasi kandar ciptaan Masterchef Indonesia tersebut.

BACA: Warga Singapura cemas ringgit Malaysia semakin kuat