Ku Li sahkan ‘no Dap, no Anwar’ hanya sentimen

Ku Li sahkan ‘no Dap, no Anwar’ hanya sentimen

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata pendirian ‘No DAP, No Anwar’ adalah hanya sentimen sesetengah pemimpin parti itu dan boleh diolah jika memanfaatkan rakyat.

“Saya rasa itu (pendirian ‘No DAP, No Anwar’) sentimen tebal sahaja. Bagi saya dalam politik itu semua (sentimen) tak diambil kira, yang penting rakyat, rakyat mesti diambil kira.

“Kalau masalah itu memerlukan kita (membuat) sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada kepada rakyat, maka itulah yang didahulukan,” katanya dalam bual bicara mengenai masa depan Malaysia di Kajang anjuran Majlis Profesor Negara (MPN).

Beliau disoal apakah naratif politik ‘No DAP, No Anwar’ dalam UMNO masih bersesuaian dengan situasi politik negara.

Pegangan itu sering disuarakan oleh sesetengah pemimpin kanan UMNO, khususnya yang cenderung kepada PPBM dan Perikatan Nasional, sebagai pendirian rasmi UMNO dalam menolak sebarang kerjasama dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan DAP.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin UMNO lain berkata parti itu harus terbuka kepada menjalin kerjasama dengan Anwar dan DAP berdasarkan realiti politik semasa negara dan kedudukan UMNO sendiri.

Tengku Razaleigh berkata UMNO harus “bijak” dalam menangani hubungannya dengan DAP.

“Kita sebagai pemimpin mesti bijak, bijak menguruskan, bijak membahagikan kuasa, bijak menentukan dan memantau apa yang boleh diberi dan dilakukan oleh rakan (politik) kita,” kata beliau yang juga pengerusi Jemaah Penasihat Umno

“Jadi, kalau kita menguasai keadaan, saya rasa itu tak menjadi perhitungan. Yang penting, rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus membenarkan usul undi tidak percaya terhadap beliau dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi yang akan datang.

Oleh kerana pilihan raya umum ke-15 tidak boleh diadakan kerana pandemik Covid-19, usul tidak percaya adalah cara terbaik menentukan keabsahan kerajaan Muhyiddin.

“Oleh kerana kerajaan tidak sah, perkara utama yang boleh dilakukan adalah perdana menteri pergi ke Parlimen dan benarkan Speaker Dewan Rakyat untuk bawa usul undi percaya terhadapnya.

“Usul itu telah dihantar oleh Dr Mahathir Mohamad. Jika dia (Muhyiddin) ada majoriti, boleh teruskan. Jika tidak ada majoriti, biar Agong tentukan,” katanya.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin hanya mempunyai majoriti tiga undi di Dewan Rakyat berasaskan sokongan yang diperolehinya untuk meluluskan Belanjawan 2021.

Razaleigh tidak menyertai pengundian Belanjawan itu kerana tidak mengiktiraf kerajaan Muhyiddin.

“Jawapan saya senang…kerana kerajaan yang mengemukakan bajet adalah kerajaan tidak sah.

“Maka bagi saya, tak ada erti saya hadir untuk mengundi Belanjawan 2021 yang tak sah yang dikemukakan oleh kerajaan yang tidak sah. Dari segi perlembangan itulah dia,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/24/ku-li-no-dap-no-anwar-hanya-sentimen-boleh-diolah-jika-memanfaatkan-rakyat/