Koperal polis marin hadapi 101 lagi tambahan tuduhan rasuah

Koperal polis marin hadapi 101 lagi tambahan tuduhan rasuah

Anggota polis marin berpangkat koperal yang sebelum ini didakwa atas 43 tuduhan rasuah, hari ini menghadapi 101 lagi pertuduhan rasuah berjumlah RM243,040.

Zubairi Abd Mutalib, 60, yang bertugas sebagai ketua jentera bot ronda berpangkalan di Kampung Acheh Sitiawan, dituduh menerima wang tunai RM7,285 hingga RM123,390 daripada tujuh individu antara Mei 2016 hingga Julai 2019.

Tertuduh didakwa menerima wang itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap beberapa bot nelayan milik individu terbabit.

Zubairi dituduh mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Zubairi turut didakwa dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semua 144 pertuduhan, termasuk 43 pertuduhan semalam ke atas Zubairi, melibatkan penerimaan rasuah RM389,390 daripada lapan individu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin di depan Hakim S Indra Nehru. Tertuduh diwakili peguam Muhamad Aizad Fakhri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM48,000 bagi semua 144 pertuduhan dengan seorang penjamin.

Jurubahasa mahkamah mengambil hampir empat jam, bermula 9 pagi tadi, untuk membaca 101 pertuduhan terhadap Zubairi hari ini.

Mahkamah menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes. – FMT

COMMENTS