Konon nak ‘work life balance’, lelaki kongsi bahaya kerja sendiri

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Tidak dapat dinafikan, bagi mereka yang sudah bekerja makan gaji lebih dari 10 tahun, rasa bosan terhadap pekerjaan sendiri sering kali muncul.

Perasaan ini biasanya timbul akibat rutin harian yang sama, kekurangan masa bersama keluarga, serta keterbatasan kebebasan dalam membuat keputusan.

Semua ini mendorong seseorang untuk mula mempertimbangkan untuk bekerja sendiri.

Namun, keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri adalah langkah besar yang memerlukan pertimbangan menyeluruh dari pelbagai aspek.

Walaupun bekerja sendiri dilihat memberi kebebasan waktu, realitinya membangunkan perniagaan sendiri tidak semudah yang disangka.

Konon nak 'work life balance', lelaki kongsi bahaya kerja sendiri

Melalui satu perkongsian di TikTok, seorang pengguna bernama @zhafreminder menceritakan pengalamannya untuk dijadikan pengajaran bersama:

“Korang ada kerja tetap, gaji tetap, tapi rasa nak resign dan buat kerja sendiri? Baca pengalaman aku ni dulu sebelum korang decide.

Ramai beranggapan bekerja sendiri lebih bebas dan tidak terikat. Namun, kebebasan itu boleh menjadi perangkap bagi mereka yang kurang berdisiplin dan gagal mengurus masa dengan baik.

“Dulu aku boleh datang kerja awal jam 8 pagi, balik jam 6 petang. Tapi bila kerja sendiri, kadang tiga jam je kerja, selebihnya ‘terapung’,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi bahawa pendapatan ketika bekerja sendiri sepenuhnya bergantung kepada usaha.

“Dulu hujung bulan confirm dapat gaji. Sekarang, kalau buat kerja, baru ada pendapatan. Kalau tak buat, langsung tak ada apa-apa.

“Kerja sendiri tak semestinya boleh dapat pendapatan sama atau lebih dari kerja hakiki dulu. Banyak yang perlu bermula kecil-kecilan sebelum mampu berkembang. Ia mengambil masa, bukan secepat mi segera,” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa kerja tetap lebih menjamin dari segi kewangan dan faedah tambahan seperti perubatan, cuti tahunan, cuti sakit, bonus, dan sebagainya.

“Kerja sendiri? Semuanya bergantung pada usaha sendiri. Kalau sakit, duit kita sendiri kena guna. Cuti pula tak ada,” tambahnya.

Beliau menegaskan, pandangannya hanyalah berdasarkan pengalaman peribadi dan tidak bertujuan untuk merendahkan usaha individu yang memilih untuk bekerja sendiri.

“Cuma korang kena bersedia dan plan betul-betul untuk peralihan ini.

“Ada yang mungkin tak setuju, tapi ikut pandangan masing-masing. Kedua-dua pilihan ada kelebihan dan kekurangan,” katanya mengakhiri.

Setiap pilihan, sama ada bekerja tetap atau bekerja sendiri, mempunyai pro dan kontra masing-masing.

Jika anda bercadang untuk mencabar diri dalam dunia keusahawanan, pastikan anda sudah bersedia dari segi kewangan, kemahiran, serta memiliki rangkaian yang kukuh sebelum membuat keputusan besar tersebut.

BACA: Mak mertua mengamuk elaun bulanan kena potong, sangka anak yang beri rupanya selama ini menantu beri