Kompaun adalah salah satu bentuk hukuman atas kesalahan yang dibuat

Kompaun adalah salah satu bentuk hukuman atas kesalahan yang dibuat. Keputusan mengenakan kompaun dalam sesuatu kesalahan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA 2001) dibenarkan dengan keizinan pihak pendakwa raya.

Pensyarah Kanan Prosedur Jenayah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Noorfajri Ismail berkata, kompaun berperanan sebagai bentuk penalti atau hukuman atas kesalahan antara tertuduh dengan pihak berkaitan tanpa membabitkan sabitan daripada mahkamah.

Beliau berkata, tidak timbul isu tindakan mengkompaun adalah perkara luar biasa kerana mengikut seksyen berkenaan ia dibenarkan, namun tertakluk kepada kesalahan tertentu sahaja.

“Contoh mudah seorang yang melakukan khianat sehingga mendatangkan kerugian atau kemungkiran kontrak pekerjaan dengan kedua-duanya merupakan kesalahan bawah Kanun Keseksaan yang boleh dikompaun.

Noorfajri Ismail.
“Bagaimanapun bukan semua bentuk kesalahan boleh dikompaun dan hanya kesalahan tertentu sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya.

Mengikut Seksyen 92(1) AMLATFPUAA 2001, pihak berkuasa atau agensi penguat kuasa berkaitan, boleh dengan keizinan pendakwa raya, mengkompaun mana-mana kesalahan mengikut akta itu dengan menerima daripada orang yang disyaki secara munasabah telah melakukan kesalahan itu, apa-apa jumlah yang tidak melebihi 50% daripada jumlah denda maksimum bagi kesalahan itu.

Kompaun

Ia termasuk denda harian, jika ada, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, yang boleh dikenakan ke atas tertuduh, jika disabitkan atas kesalahan itu, dalam apa-apa tempoh dinyatakan dalam tawaran bertulisnya.

Noorfajri berkata, bagi kes didakwa di mahkamah, kompaun hanya dibuat dengan kebenaran pendakwa raya.

Mengulas lanjut, AMLATFPUAA 2001 membenarkan tindakan pembekuan, menyita atau melucuthak sesuatu harta dalam apa jua bentuk bagi mendapatkan semula wang yang telah digunakan untuk kegunaan yang tidak sah.

“Tindakan kompaun adalah dibenarkan bawah undang-undang berdasarkan kesalahan tertentu misalnya merujuk kepada kes Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan yang dikenakan kompaun RM1.1 juta.

“Merujuk kepada kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tindakan kompaun dikenakan ini merupakan satu tindakan punitif terhadap mana-mana individu yang terlibat. Ia merupakan satu bentuk pemulangan aset bawah AMLATFPUAA 2001,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ada juga kesalahan yang tidak boleh dikompaun, misalnya membabitkan kes jenayah berat mengikut Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kesalahan mengikut pengubahan wang haram tidak sama dengan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan yang membabitkan kesalahan seperti mencuri, merompak dan pecah amanah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, membebas dan melepaskan Ahmad daripada kedua-dua tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang dipercayai hasil aktiviti menyalahi undang-undang, dan memberi kenyataan palsu kepada SPRM.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Setiausaha Agung Umno itu, susulan persetujuannya membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta, semalam.

Ahmad sebelum ini pernah ditawarkan kompaun berkenaan pada Oktober 2019, namun memilih untuk dibicarakan di mahkamah ketika itu.

Sehubungan itu, beliau dituduh dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 pada 20 Jan 2020. Semasa tempoh perbicaraan berjalan, beliau mengemukakan representasi dan bersetuju membayar kompaun dikenakan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/30/kompaun-dibenarkan-dengan-izin-pendakwa-raya-kata-pensyarah-undang-undang/

BACA: Susulan video tular bantahan pihak kuil terhadap pihak berkuasa, Wan Fahysal kunjungi kuil terbabit