Kluster Sivagangga : Surau ditutup, JAIS minta penduduk jangan panik

Kluster Sivagangga : Surau ditutup, JAIS minta penduduk jangan panik

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) meminta penduduk Shah Alam tidak panik susulan tersebarnya notis penutupan sementara Surau Al-Jannah, Seksyen 23, Shah Alam yang bertarikh hari ini.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi mengesahkan mengenai notis penutupan berikutan seorang jemaah surau itu mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

“Selepas individu berkenaan disaring dan jika keputusannya negatif serta beberapa penelitian semula dibuat, JAIS akan buat keputusan selanjutnya.

“Kami berharap penduduk sekitar dan umumnya penduduk di Shah Alam jangan panik disebabkan notis penutupan itu.

“Jika pentadbir surau, sekolah, jemaah dan pelajar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan…kemungkinan penularan adalah rendah, saya berdoa semuanya selamat dan surau kembali dibuka,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun beliau berkata, notis penutupan itu hanya untuk surau berkenaan bukan untuk disebarkan kepada umum.

“Sepatutnya notis penutupan ini tidak ditularkan sebab saya tidak mahu perkara ini menimbulkan keadaan panik dalam kalangan penduduk.

“Notis ini untuk disegerakan kepada pihak tertentu sahaja. Ia juga bertujuan untuk keprihatinan agar jangan mengambil mudah ketetapan SOP dibuat oleh JAIS.

“Pasukan penguatkuasa JAIS sudah membuat kawalan awal di semua kawasan terbabit sejak 11.30 pagi bagi mengelakkan solat Jumaat diteruskan kerana ramai penduduk sekitar tidak maklum perkara ini,” katanya.

Notis penutupan yang tersebar di media sosial itu antara lainnya menyebut, Jais dimaklumkan terdapat jemaah Surau Al Jannah mempunyai konteks rapat dengan individu disahkan positif Covid-19 yang mempunyai kaitan dengan kes Sivagangga.

JAIS juga mengarahkan jawatankuasa surau mengambil tindakan serta merta menutup semua operasi surau termasuk solat Jumaat, solat fardu waktu berjemaah dan aktiviti lain.

Hanya tiga petugas jawatankuasa sahaja dibenarkan untuk memimpin solat fardu di surau berkenaan.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/08/607963/surau-ditutup-penduduk-jangan-panik-jais

COMMENTS