Syarikat aiskrim tempatan, Inside Scoop menghentikan penjualan aiskrim berperisa ubat batuk cap ibu dan anak atau Pei Pa Koa secara serta merta.
Tindakan diambil selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan agar penjualan aiskrim campuran ubat batuk itu dihentikan serta merta di semua premis.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di platfrom X, syarikat terbabit tampil membuat memohon maaf atas segala kesulitan dan menghargai keprihatinan dari orang ramai.
Inside Scoop juga akan memulangkan semula wang kepada para pelanggannya yang telah memesan aiskrim perisa terbaharu keluarannya itu secara dalam talian.
“Ekoran daripada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kami mengucapkan selamat tinggal kepada perisa ais krim Pei Pa Koa, berkuat kuasa serta-merta.
“Namun jika anda telah membuat pesanan perisa ini secara atas talian, jangan risau! Kerana pihak kami akan hubungi anda untuk proses pemulangan wang dengan segera,” katanya dalam hantaran itu pada Selasa.
Terdahulu, KKM mengeluarkan arahan untuk menghentikan penjualan produk aiskrim yang mula dipasarkan pada 29 Julai itu serta-merta demi keselamatan pengguna.
KKM menjelaskan bahawa Seksyen 13B (2) Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pihak industri makanan juga diingatkan untuk bertanggungjawab bagi memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran atau melariskan jualan.
Orang ramai juga disarankan untuk lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan berhati-hati membeli produk yang mungkin diaduk dengan bahan tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.
Sekadar info, ubat batuk Pei Pa Koa adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM di bawah kategori tradisional yang digunakan bagi melegakan sakit tekak serta batuk dengan larangan untuk wanita hamil seperti dinyatakan pada label.
Baca juga: Wanita terkejut gaji ‘content creator’ hanya buat tiga video RM80,000