Apabila tiba hujung tahun, ramai yang mula memasang azam baru sebagai persediaan untuk melangkah ke fasa kehidupan seterusnya.
Namun, tahukah anda bahawa terdapat empat negara di dunia yang tidak akan menyambut kedatangan tahun 2025 pada 1 Januari?
Keadaan ini berlaku kerana peralihan tahun baru di negara-negara tersebut tidak sama seperti kebanyakan negara lain, disebabkan penggunaan kalendar unik mereka.
Hampir semua negara, termasuk Malaysia, menggunakan Kalendar Gregorian atau Kalendar Masihi untuk urusan rasmi.
Namun, empat negara ini berpegang kepada sistem kalendar tradisional mereka yang berbeza, menjadikan tarikh peralihan tahun baru juga berlainan.
NEPAL
Nepal menggunakan kalendar yang dikenali sebagai Vikram Samvat (VS), yang berdasarkan fasa bulan dan matahari untuk menentukan strukturnya.
Kalendar ini mempunyai 12 bulan setahun, dengan jumlah hari dalam sebulan antara 29 hingga 32 hari, bergantung pada perkiraan astronomi.
Setiap tiga tahun, kalendar ini menambah satu bulan tambahan sebagai tahun lompat untuk menyelaraskan perkiraan bulan dan kitaran matahari.
Ia mula digunakan pada tahun 57 sebelum Masihi sebagai tanda memperingati kemenangan Raja Vikramaditya dalam peperangan.
Disebabkan kalendar ini bermula 57 tahun lebih awal berbanding Kalendar Masihi, Nepal kini berada di tahun 2081.
Tahun baru dalam kalendar ini disambut pada pertengahan bulan April. Oleh itu, pada 1 Januari nanti, Nepal masih berada di tahun 2081.
Di Nepal, VS digunakan secara rasmi termasuk dalam sistem pendidikan, menentukan perayaan, dan cuti kebangsaan. Selain itu, kalendar ini juga penting dalam sektor pertanian untuk merancang musim menanam dan menuai.
Namun begitu, rakyat Nepal turut memahami dan menggunakan Kalendar Masihi untuk urusan antarabangsa.
IRAN & AFGHANISTAN
Iran dan Afghanistan tidak akan memasuki tahun 2025 pada 1 Januari kerana kedua-dua negara menggunakan Kalendar Hijriah Shamsiah atau Kalendar Solar Hijri sebagai kalendar rasmi mereka.
Kalendar ini mempunyai 12 bulan, dengan enam bulan pertama mengandungi 31 hari, lima bulan berikutnya 30 hari, dan bulan terakhir 29 hari.
Tahun baru bermula pada ekuinoks musim bunga, biasanya sekitar 20 atau 21 Mac dalam Kalendar Gregorian, yang dikenali sebagai Nowruz.
Walaupun menyerupai Kalendar Islam, ia diselaraskan mengikut keperluan negara mereka.
Kalendar ini digunakan secara rasmi untuk urusan harian, manakala Kalendar Masihi hanya digunakan untuk urusan antarabangsa.
Oleh itu, tahun baru di Iran dan Afghanistan bukan pada 1 Januari. Sebaliknya, kedua-dua negara ini akan kekal di tahun 1403 sehingga Mac nanti.
ETHIOPIA
Ethiopia menggunakan sistem kalendar yang dikenali sebagai Coptic, salah satu kalendar tertua di dunia.
Kalendar ini mempunyai 13 bulan, dengan 12 bulan pertama masing-masing mengandungi 30 hari, manakala bulan terakhir, Pagumē, hanya mempunyai 5 atau 6 hari bergantung kepada tahun tersebut.
Sistem kalendar ini mula digunakan kira-kira 7 hingga 8 tahun selepas pengenalan Kalendar Masihi, dan tahun baru di Ethiopia disambut pada bulan September.
Seperti negara-negara lain yang disebutkan, Ethiopia menggunakan kalendar ini untuk urusan rasmi, keagamaan, dan pentadbiran kerajaan.
Disebabkan perbezaan sistem ini, Ethiopia kini berada di tahun 2017, dan perubahan tahun tidak akan berlaku pada 1 Januari kelak.
BACA: Jambatan di Port Dickson rupanya pintu penghubung alam manusia dan bunian