Kini kemarahan rakyat kepada Muhyiddin melebihi Najib dahulu

Kini kemarahan rakyat kepada Muhyiddin melebihi Najib dahulu

Petunjuk paling mudah untuk mengetahui atau mengesan sama ada rakyat gembira atau tidak terhadap kerajaan ialah melalui reaksi di media sosial, selain mendengar apa yang anggota masyarakat luahkan dalam perbualan mereka sesama rakan, kenalan atau keluarga.

Melalui media sosial, pengesanan itu boleh diperolehi dengan dua cara iaitu daripada luahan perasaan di akaun masing-masing dan di ruangan komen akaun pemimpin kerajaan, terutamanya Perdana Menteri.

Dalam perbualan di lapangan, cara mengesannya juga terbahagi kepada dua iaitu perbualan secara langsung di tempat-tempat pertemuan biasa seperti kedai makan dan seumpamanya atau perbualan bertulis sesama rakan, keluarga, kawan-kawan sekolah dan jiran-jiran setaman dalam grup Whatsapp, Telegram dan sebagainya.

Dalam kedua-dua kaedah itu – media sosial dan lapangan – jika diperhati bukanlah suatu rahsia lagi bahawa perasaan tidak puas hati dan marahnya rakyat kepada kerajaan sedang memuncak dan di tahap paling tinggi pada waktu ini.

Bahkan, kalau diteliti juga, marahnya rakyat terhadap kerajaan dan Muhyiddin Yassin pada waktu ini lebih parah berbanding kemarahan mereka terhadap BN dan Najib Razak sebelum PRU 2018 lalu.

Dalam akaun media sosial Muhyiddin misalnya, kalau kita rajin meneliti komen-komen yang diluahkan, hampir 95 peratus daripadanya sekarang ini adalah berbentuk kecaman, luahan tak puas hati, marah dan tidak terkecuali maki hamun, tak kira apa sekali pun yang cuba dikongsi oleh Perdana Menteri.

Kadang-kadang posting mengenai makluman perutusan khas yang bakal disampaikan Perdana Menteri pun sarat dengan kebanjiran kata-kata kecaman dan makian.

Ia berbeza berbanding sebelum PRU14 lalu di mana komen-komennya banyak berbentuk sokongan dan pujian serta merangsang perubahan, tetapi kini semuanya telah hilang entah ke mana.

Sebaliknya, media sosial Najib pula sekarang ini yang lebih mendapat sambutan dan pujian atas setiap posting yang dimuatkan bekas Perdana Menteri itu.

Keadaan ini jelas menggambarkan rakyat benar-benar tidak puas hati dan marah terhadap Muhyiddin, bermula dengan pengkhianatannya, kelemahan kepimpinan, kekerapan dengan perutusan khas, tidak benar-benar mendengar suara rakyat, kegagalan menangani Covid19, darurat dan sehinggalah kepada sikapnya yang buat tak tahu terhadap kehilangan majoriti dimilikinya di mana beliau kini dianggap telah derhaka kepada Perlembagaan Negara sendiri.

Dalam keadaan kritikan, kecaman dan makian yang kian membesar itu, para penyokong Muhyiddin nampaknya langsung tidak mampu berbuat apa-apa mempertahankan boss mereka atau kerajaan PN yang sudah senget kedudukannya tika ini.

Setidak-tidaknya, ketika era Najib dulu, ramai juga tentera siber upahan yang sama ada aktif di akuan media sosial masing-masing mempertahankan beliau atau memuji-muji bekas Perdana Menteri itu di ruangan komen setiap kali posting baru dinaikkannya.

Bagaimanapun ketika itu, arus penolakan yang kuat itu akhirnya berjaya membuatkan Najib dan BN dapat ditumbangkan kerana penolakan melalui media sosial dan kemarahan rakyat di lapangan telah bersatu untuk menterjemahkan keinginan bersama mereka melalui peti-peti undi.

Secara mudahnya, semua itu didorong hakikat bahawa majoriti rakyat negara ini ada memiliki akaun media sosial masing-masing di mana ada yang aktif dan sebahagian yang lain hanya suka membaca tulisan di garis masa saja.

Untuk itu, menjana dan merangsang perubahan melalui media sosial tidak dinafikan adalah kaedah yang sangat berkesan sekali.

Sama seperti tulisan di garis masa atau di ruangan komen Muhyiddin yang ketika ini rata-rata berbentuk penolakan dan inginkan beliau segera berambus daripada kerusi Perdana Menteri, perbualan rakyat pelbagai golongan lapangan terbuka dan dalam grup Whatsapp misalnya juga, rata-ratanya terarah ke haluan yang sama.

Di mana saja, lebih mudah kita mendegar atau membaca luahan kemarahan atau tidak puas hati terhadap Muhyiddin berbanding yang menyokong atau memujinya.

Kecuali mereka yang beroleh jawatan, kedudukan atau projek, mencari suara yang memuji Muhyiddin sekarang ini tidak ubah seperti mencari sebutir pertama dalam seguni beras.

Lebih buruk, arus penolakan ternadap Muhyiddin itu turut sama telah merebak kepada hampir semua menteri dan pemimpin-pemimpin kerajaan, terutama mereka yang didapati kuat mengampu dan membodek Perdana Menteri sama ada dengan hujah akal atau dalil agama yang citarasanya diubah mengikut nikmat selera dunia.

Tambahan lagi perangai Muhyiddin yang kaku dan tidak memberi respon terhadap banyak isu di mana beliau asyik-asyik dengan perutusan khas saja, sementara isu-isu lain berkaitan diri dan keluarganya turut muncul satu persatu terbiar tanpa penjelasan, kemarahan rakyat terhadap beliau pada hakikatnya kian meningkat hari demi hari.

Seolah-olahnya, jika esok ada PRU, rakyat sudah tidak sabar lagi mahu mengalahkan Muhyiddin dan semua yang ada dalam kerajaan sekarang ini.

Bagi majoriti rakyat ketika ini, selain kerajaan PN lebih huru hara, tiada hala tuju dan slogan Melayu/Islam hanya laungan manis sebelum beroleh kuasa, Muhyiddin sendiri secara relatifnya lebih teruk berbanding Najib yang sudah dijatuhkan sebelum ini. –SDT