Khalid sahkan perletakan jawatan Husam, kini ketuai pasukan fokus PRU

Khalid sahkan perletakan jawatan Husam, kini ketuai pasukan fokus PRU

Mesyuarat bulanan Jawatankuasa Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) yang diadakan pada 6hb September lepas telah meluluskan permohonan Datuk Husam Musa untuk melepaskan jawatan Naib Presiden AMANAH.

Permohonan Perletakkan jawatan ini adalah untuk membolehkan beliau memberikan tumpuan kepada usaha memenangkan kerusi untuk AMANAH di Kelantan, khasnya di kawasan Parlimen Kota Bharu yang beliau ketuai.

Memandangkan kebolehan dan kemampuan beliau masih diperlukan di peringkat nasional, JK Nasional AMANAH telah mengambil keputusan untuk meminta beliau berperanan memantau dan bertindak sebagai penasihat kepada tiga biro AMANAH dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum ke15.

Tiga Biro ini adalah Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi. Kertas cadangan berhubung peranan baharunya sedang disediakan untuk persetujuannya.

Apa jua gambaran bahawa beliau meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan Presiden atau mana-mana pimpinan AMANAH adalah tidak berasas. Sebaliknya ianya dilakukan demi melonjak dan mengukuhkan lagi kedudukan AMANAH di Kelantan, khususnya di Kota Bharu.

Sekian, terima kasih.

KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi AMANAH
14 September 2020

COMMENTS