Khalid masih berharap Tun M dan Anwar dapat duduk semeja

Khalid masih berharap Tun M dan Anwar dapat duduk semeja

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad masih berharap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengetepikan perbezaan politik antara mereka demi kepentingan negara.

Katanya kedua-dua pemimpin itu wajar duduk semeja untuk berunding selain merapatkan kembali Pakatan Harapan (PH).

“Jurang perbezaan antara mereka ini bagi Amanah satu keadaan yang sangat merugikan buat PH.

“Kali terakhir kita duduk bermesyuarat dalam PH ialah Jun lepas dan selepas itu keadaan semakin meruncing, kita tidak bertemu lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak kali ke-5 di Ipoh, lapor Bernama.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan bahawa Khalid menimbulkan soal keihkhlasan sokongan sekumpulan anggota parlimen Umno terhadap Anwar.

Berucap kepada para perwakilan, Khalid berkata, pergolakan politik yang tidak menentu ketika ini membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi perdana menteri termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.

“Rundingan antara Muhyiddin (Yassin) dan Umno sekarang ini pun kita tidak tahu apa yang akan berlaku, semuanya boleh berubah.

“Begitu juga halnya sokongan Umno kepada Anwar, kita tak tahu sama ada ia benar-benar ikhlas atau hanya nak tunjuk kepada Muhyiddin,” katanya.

Umno pada 13 Okt lalu mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan sebaliknya memberikan syarat baru kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyampaikan dokumen yang didakwanya sebagai bukti memiliki majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

Berikutan itu Muhyiddin meminta Umno memperincikan syarat baru mengenai kerjasama politik dengan PN dalam usaha menyelamatkan gabungan itu.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata parti itu menuntut jawatan timbalan perdana menteri dan beberapa portfolio penting dalam kabinet.

Mengulas lanjut Khalid berkata, Muhyiddin akan dilihat sangat lemah jika menuruti tuntutan Umno bagi memastikan dia kekal sebagai perdana menteri.

“Bulan ini Umno minta jawatan timbalan perdana menteri dan menteri-menteri kanan, enam bulan kemudian akan minta lain pula yang akhirnya mahu jawatan perdana menterilah,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/546941

COMMENTS