Kewangan negara mesti dibelanja dengan bijak – PM

download (90).jpg
Kewangan negara mesti dibelanja secara bijak dengan menentukan ‘keutamaan’, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau sebab itu ada perbelanjaan yang lain, yang mungkin akan dikurangkan.

“Negara mempunyai hutang RM1 Trilion dan kalau tidak dibayar akan bangkrap.

“Banyak kutipan hasil negara diguna untuk membayar hutang diambil oleh Najib (Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak), itu lah peninggalan Najib,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Jamuan Makan Tengah Hari Bersama Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah di sini, hari ini.

Beliau ditanya pemberita mengenai komitmen kerajaan persekutuan terhadap Sabah yang memerlukan dana dari kerajaan persekutuan untuk melaksanakan pembangunan.

Perdana Menteri berkata Sabah bukan negeri yang miskin, dan negeri yang miskin adalah Perlis serta Kedah.

“Sabah adalah sebuah negeri paling kaya dalam negara, sebaik sahaja ia terlibat dengan carigali minyak di laut dalam,” katanya

Pada majlis itu, Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu turut mengadakan perjumpaan dengan pimpinan Bersatu Sabah, Ketua-Ketua Armada dan Srikandi Bahagian.

Turut hadir Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Ia adalah antara program Perdana Menteri pada lawatan sehari di Sabah, dan terdahulu beliau mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Menteri Kabinet Negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini.

Beliau tiba di sini pagi tadi dari Kuching, Sarawak selepas menghadiri sambutan Hari Malaysia malam tadi dan dijangka balik ke ibu negara petang ini.

BERNAMA