Ketua Polis Johor tegur doktor viral video mengelirukan

Ketua Polis Johor tegur doktor viral video mengelirukan

Polis Johor menasihatkan orang awam terutama golongan profesional supaya menyemak terlebih dahulu fakta sebelum memuat naik sesuatu video atau gambar sehingga mengelirukan masyarakat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata adalah tidak bertanggungjawab untuk menularkan fakta yang tidak sahih sehingga kerja dan dedikasi pihak lain dinafikan sewenang-wenangnya.

Beliau turut menyangkal dakwaan seorang doktor sebuah klinik swasta di sini menerusi sebuah video viral sejak semalam yang mendakwa polis tidak membuat kerja dan hanya duduk di pejabat dan menyifatkannya sebagai sangat tidak bertanggungjawab serta melulu.

“Kita sudah semak lokasi yang dinyatakan doktor ini iaitu di Pasar Larkin, sebuah kedai serbaneka di Taman Bukit Mutiara serta sebuah pasar raya di Taman Daya dan berdasarkan siasatan memang ada penjarakan sosial jadi dakwaan doktor itu tidak tepat.

“Untuk makluman juga Polis Johor sudah menangkap 2,503 orang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan jadi macam mana ada dakwaan yang cakap polis tidak ambil tindakan.

“Sepanjang PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, seramai 3,765 pegawai dan anggota polis ditugaskan sama ada di sekatan jalan raya (SJR) , kawasan kuarantin, hospital dan sebagainya.

“Polis Johor turut dibantu 1,575 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seramai 741 anggota, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) seramai 339 anggota serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) seramai 261 anggota, sukarelawan polis (156) dan polis bantuan (78).

“Ia termasuk kawalan di sebanyak 12 pusat kuarantin di Johor yang dikawal polis (108), RELA (66), APM (108), sukarelawan polis (9) dan polis bantuan (3). Itu belum masuk kawalan ketat di 15 hotel kuarantin, tujuh hospital, 62 lokasi sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini dan pemeriksaan mengejut yang dilakukan 1,551 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Semalam, video daripada doktor berkenaan yang berdurasi 12 minit 26 saat viral di laman sosial, antara lain mendakwa polis tidak membuat kerja selain tiada penjarakan sosial di beberapa lokasi tumpuan.

Ayob Khan berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang kritikan atau aduan dari mana-mana pihak tetapi perlu berdasarkan fakta bukan hanya sekadar khabar angin.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan turut menafikan gambar tular di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang semalam yang tidak mengamalkan penjarakan sosial terhadap tahanan PKP.

“Gambar yang tular itu tidak tepat kerana ketika itu tahanan baru sampai ke IPD berkenaan dan semasa proses dokumentasi dijalankan kita lakukan penjarakan sosial terhadap mereka,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/04/677873/semak-fakta-sebelum-tuduh-orang-lain-tak-buat-kerja-ayob-khan