Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia,
Datuk Muhammad Jailani Khamis, supaya tidak berdalih dalam membayar saman RM100 juta yang dikenakan terhadapnya kerana melompat parti.
Katanya, tuduhan kononnya UMNO mahu menjadikan bekas EXCO Pelancongan, Kebudayaan, dan Warisan Melaka itu muflis adalah tidak benar dan tidak berasas.
“UMNO bukan bertujuan untuk mufliskan sesiapa. Kami hanya mahu menuntut semula janji yang telah diberi ketika menandatangani perjanjian sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) pada 2021.
“Kami tidak memaksa beliau untuk menandatangani perjanjian tersebut, tetapi beliau sendiri yang melakukannya kerana ingin sangat menjadi calon mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Oleh itu, beliau (Muhamad Jailani) perlu bertanggungjawab terhadap apa yang telah dipersetujui sebelumnya,” katanya selepas meraikan lawatan delegasi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Centre on Integrated Rural Development Asia and The Pacific (CIRDAP) Ke-39 di Merlimau hari ini.
Menurut portal berita dalam talian semalam, Muhamad Jailani dilaporkan berkata bahawa tuntutan UMNO sebanyak RM100 juta itu bertujuan untuk menjadikannya muflis.
Beliau turut mengakui akan menghadapi isu kewangan jika tuntutan tersebut dipenuhi, namun akan tetap dengan keputusannya untuk menyertai PAS.
Dr Muhamad Akmal, yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, berkata ADUN Rembia itu dinasihatkan agar tidak memutarbelitkan fakta dengan dakwaan yang tidak masuk akal dan lari daripada situasi sebenar.
“Faktanya, kamu (Muhammad Jailani) yang ingin menandatangani perjanjian itu tanpa paksaan, dan kamu perlu mengambil tanggungjawab apabila melompat parti.
“Terimalah kenyataan ini. UMNO hanya menuntut semula janji yang telah kita persetujui sebelum ini.
“Bagaimanapun, saya ingin ucapkan kepada Jailani, ‘good luck’ (selamat berjaya) dalam usaha mengumpulkan RM100 juta untuk dibayar kepada UMNO,” katanya.
Hujung bulan lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata UMNO akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Jailani untuk menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta.
Keputusan itu diambil dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang turut mempertimbangkan dan bersetuju untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan tersebut.
Tindakan ini selaras dengan perjanjian yang dimeterai dengan wakil rakyat yang telah meninggalkan dan membelakangi pendirian parti.