Ketua Menteri Sabah dedah kenapa baik layan musuh politiknya

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Berbuat baik kepada semua pihak, termasuk pembangkang, tidak pernah dianggap sebagai satu kerugian

Atau liabiliti bagi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam memimpin pentadbiran negeri.

Walaupun tindakan beliau meluluskan permohonan biasiswa pendidikan untuk anak pemimpin pembangkang menerima kecaman, Hajiji hanya tersenyum ketika ditanya mengenai hal itu.

Dengan nada lembut, beliau menjelaskan bahawa seorang pemimpin perlu adil kepada semua.

“Sebagai pemimpin, terutama sebagai ketua menteri, kita mesti berlaku adil kepada semua, dan itulah yang sepatutnya kita lakukan.

Ketua Menteri Sabah dedah kenapa baik layan musuh politiknya

“Orang cakap saya baik, tapi saya taklah terlalu baik. Namun, saya cuba seadil mungkin kepada semua kaum tanpa mengira keturunan, agama, kepercayaan, atau politik mereka.

“Itulah yang saya cuba bawa kerana kita perlu belajar daripada sejarah politik. Kalau kita bergaduh, kita akan lambat membangunkan Sabah,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Malaysia Gazette di Menara Kinabalu baru-baru ini.

BIASISWA UNTUK ANAK AZIS

Pada 8 September lalu, Hajiji mendedahkan bahawa Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, membuat permohonan biasiswa untuk anaknya daripada kerajaan negeri, dan beliau meluluskannya atas dasar keprihatinan terhadap anak-anak Sabah.

Menyedari tindakannya yang dianggap terlalu baik kepada musuh politik, Hajiji menegaskan bahawa beliau tidak berminat dalam politik ekstrem yang akan memangsakan rakyat Sabah, yang masih menghadapi masalah kemiskinan.

“Kalau kita terlalu bermain politik ekstrem, kita tidak akan mendapat apa-apa. Jadi, mungkin ini selaras dengan perwatakan saya.

“Kalau kita sibuk berebut kuasa, kita akan ketinggalan. Sebab itu saya bawa pemikiran untuk bersatu padu demi pembangunan Sabah,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, khususnya meningkatkan kemudahan awam dan membawa infrastruktur ke kawasan luar bandar.

“Kita juga mahu wujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat kerana rakyat mahukan keamanan, keselesaan, dan ketenteraman. Itu keutamaan.

“Kemudian, perpaduan, dan ketiga, kemudahan asas mesti sampai kepada mereka,” jelasnya.

Selain itu, Hajiji menyeru pemimpin-pemimpin politik di Sabah agar berpandangan jauh, bijaksana, dan matang demi kepentingan rakyat.

“Jangan terlalu mementingkan kesukuan, diri sendiri, atau semangat kenegerian yang keterlaluan.

“Kalau kita hanya fokus kepada keadaan di sini sahaja tanpa melihat kepentingan negara secara menyeluruh, kita akan ketinggalan.

“Kita mesti kikis pemikiran sempit ini, tidak kira dari pihak pembangkang atau kerajaan. Semua mesti difikirkan untuk kebaikan negeri dan rakyat,” tegasnya.

DEMI KEBAIKAN, LEBIH BAIK KITA BEKERJASAMA

Hajiji turut menyeru pemimpin-pemimpin politik tempatan di Sabah untuk menerima hakikat bahawa pembentukan Kerajaan Negeri Sabah sejak 60 tahun lalu bergantung kepada kerjasama dengan parti-parti nasional.

Beliau berkata, Sabah tidak boleh mengikuti jejak langkah Sarawak kerana sejarah politik yang berbeza, dan bersendirian hanya akan menimbulkan konflik.

“Kadang-kadang ada yang bertanya mengapa Sabah tidak seperti Sarawak, yang agak stabil.

“Saya jawab, keadaan politik di Sabah berbeza dengan Sarawak. Di sini, parti nasional seperti Barisan Nasional (BN), UMNO, dan Pakatan Harapan (PH) sudah wujud dengan penyokong dan kerusi mereka.

“Jadi, untuk kebaikan Sabah, lebih baik kita bekerjasama antara parti tempatan dan parti nasional,” katanya.

Walaupun kerajaan negeri melibatkan parti nasional, Hajiji menegaskan bahawa pentadbiran masih diterajui oleh pemimpin tempatan.

“Suara-suara di bawah ada yang mahu kita bertanding di 73 kerusi, tetapi ini tidak praktikal kerana kerajaan kita sekarang diterajui oleh gabungan parti tempatan dan nasional.

“Ia sudah cukup baik, dan kita patut meneruskannya. Jika tidak, ia hanya akan membawa kepada perpecahan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran agar tidak mengulangi kesilapan masa lalu di mana parti tempatan seperti USNO gagal maju tanpa kerjasama dengan parti nasional.

“Pemimpin-pemimpin kita perlu berhati-hati agar tidak membuat keputusan yang memecahbelahkan rakyat,” katanya.

HUBUNGAN DENGAN UMNO

Mengenai hubungan antara GRS-PH dengan BN-UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), Hajiji yakin tiada masalah, memandangkan Kabinet Sabah masih dianggotai oleh sebahagian pemimpin dari parti nasional tersebut.

“Satu blok (UMNO) menyokong saya, manakala satu lagi masih dalam kerajaan dan mempunyai menteri serta jawatan lain.

“Saya mengekalkan pendekatan perpaduan ini kerana tidak ada gunanya memimpin negeri jika kita hanya memikirkan diri sendiri. Kita mesti memikirkan rakyat,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa pendekatan beliau untuk bersatu hati dengan semua parti termasuk UMNO adalah selaras dengan pendirian Kerajaan Persekutuan yang mengutamakan perpaduan.

Memandangkan penggal ke-16 masih berbaki kira-kira setahun, Hajiji tidak bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah lebih awal.

Sebaliknya, beliau mahu memanfaatkan masa yang ada untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat, khususnya berkaitan air, jalan raya, dan kemiskinan.

“Kita akan gunakan masa ini untuk menyelesaikan masalah. Bila tiba masa yang sesuai, kita akan bubarkan DUN dan kembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.

Beliau optimis bahawa kerajaan GRS-PH akan memenangi pilihan raya akan datang, dengan izin Allah.

PAN BORNEO LAMBAT DISEBABKAN WARISAN

Mengenai kelewatan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah, Hajiji mendedahkan ia berpunca daripada tindakan Kerajaan Warisan sebelum ini yang membatalkan kontrak syarikat juru perunding yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan.

“Tindakan itu menyebabkan kelewatan bagi 12 pakej kerja Fasa 1A yang masih belum siap sehingga kini,” katanya.

Namun, beliau bersyukur kerana keadaan kini sudah teratur dan projek Pan Borneo akan diteruskan dengan bantuan kontraktor yang dilantik melalui tender terbuka.

WARISAN GAGAL MEMERINTAH SABAH

Hajiji juga membidas pemimpin-pemimpin Warisan yang menyalahkan GRS atas kegagalan mereka mengurus pentadbiran Sabah, terutama projek LPB.

“Mereka hanya tahu bercakap politik tetapi gagal menunjukkan sebarang pencapaian ketika memerintah. Rakyat Sabah sudah pandai menilai pemimpin mana yang layak,” katanya

BACA: Menyokong Palestin secara terbuka, pemain Morocco gugur dari skuad kebangsaan