Ketua-ketua Bahagian Bersatu Kedah sokong Tun M sebagai Pengerusi Bersatu

Ketua-ketua Bahagian Bersatu Kedah sokong Tun M sebagai Pengerusi Bersatu

Kami, Ketua-Ketua Bahagian Parti Bersatu Malaysia Negeri Kedah, bersepakat menyokong kepimpinan Yang Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi BERSATU.

Kami turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mukhriz Tun Mahathir selaku Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Negeri Kedah.

Kepemimpinan kedua-duanya di dalam parti peringkat pusat dan negeri adalah sah dari segi Perlembagaan BERSATU dan dengan yang demikian tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Kami kesal dengan tindakan individu-individu tertentu, termasuk di kalangan sebilangan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, yang dalam keghairahan untuk menyatakan sokongan terhadap Presiden BERSATU dan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sanggup mengusulkan cadangan memecat Yang Berhormat Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi dan Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mukhriz sebagai Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Kedah.

Harus diingatkan bahawa semasa tercetusnya kemelut kepimpinan, Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU telah menolak peletakan jawatan oleh Yang Berhormat Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi. Susulan perjumpaan dengan pimpinan parti, Yang Berhormat Tun Dr Mahathir akhirnya telah menghormati rayuan Majlis Pimpinan Tertinggi supaya beliau kekal sebagai Pengerusi. Selayaknya Yang Berhormat Tun Dr Mahathir kekal menerajui BERSATU sebagai Pengerusi, jawatan yang dipertahannya tanpa dicabar semasa pencalonan pemilihan jawatan-jawatan tertinggi parti.

Kami mengecam sebarang usaha jahat untuk memecat Yang Berhormat Tun Dr Mahathir dan Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mukhriz. Muslihat dan desakan untuk menyingkir kedua-dua pengasas BERSATU ini adalah sangat tidak beretika dan harus ditentang.

Oleh yang demikian, kami menggesa semua pihak supaya terus berpegang kepada prinsip perjuangan yang mulia, beramanah dan mendokong Perlembagaan BERSATU, serta menyantuni hasrat ahli akar umbi demi kesejahteraan parti yang dicintai ini.
Kami amat berharap kemelut kepimpinan BERSATU dapat diselesaikan dengan tuntas dan bijaksana, yang bersendikan akhlak mahmudah bagi meletakkan semula perjuangan kesemua ahli di landasan yang lurus dan bertepatan dengan cogankata parti iaitu Bersatu, Beramanah, Bermaruah.
Hanya dengan menolak pengkhianatan dan kembali mendokong perjuangan yang berintegriti dan bermaruah, BERSATU akan dihormati dan disanjungi oleh rakyat Malaysia.

Kami yang taat setia,

Mejar Anuar Abdul Hamid
Ketua Bahagian Merbok merangkap Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Kedah

YB Dato’ Wira Ir. Hj. Amiruddin Hamzah
Ketua Bahagian Kubang Pasu

Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat
Ketua Bahagian Alor Setar

Dato’ Azimi Daim
Ketua Bahagian Kulim-Bandar Baharu

Encik Muhammad Amri Wahab
Ketua Bahagian Pokok Sena

Dato’ A Aziz Mohamud
Timbalan Ketua Bahagian Jerlun

Encik Shukor Bahari
Timbalan Ketua Bahagian Langkawi

Sumber:

COMMENTS