Ketelusan : Pemimpin politik perlu isytihar harta

Ketelusan : Pemimpin politik perlu isytihar harta

Pemimpin politik perlu mengisytiharkan aset dan pendapatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, langkah itu dilihat mampu mencegah amalan rasuah, sekali gus dapat mengelak berlakunya pertelingkahan kepentingan dan liabiliti.

“Kita tahu rasuah adalah punca segala jenayah. Jika semua pemimpin politik berani mengisytihar harta, tindakan itu pasti boleh meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap mereka.

“Malah menjadi nilai tambah kepada mereka untuk dipilih pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata, reformasi kewangan parti politik juga perlu dipraktikkan bagi mengelakkan berlaku rasuah dalam kalangan pemimpin politik.

Katanya, reformasi kewangan bermaksud peruntukan yang disalurkan kepada parti politik untuk menjalankan kerja-kerja mereka perlu didedahkan secara umum.

“Jadi, kita dapat tahu sumber sumbangan atau dana yang diperoleh atau diberikan kepada siapa serta pengagihan dana atau sumbangan pula tidak dihadkan kepada individu tertentu sahaja.

“Jika reformasi kewangan parti politik ini dilakukan, kita yakin jenayah rasuah dapat dielakkan dengan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Chean Chung berkata, SPRM juga perlu memantau projek-projek yang dilakukan menerusi penawaran tender terbuka kepada semua pihak.

“Bila tender secara terbuka, kita yakin dapat mengelak budaya sogokan wang daripada kroni-kroni yang mahu mendapat projek pembangunan dalam negara dengan cara mudah,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau mahu SPRM memperkuatkan institusi itu dengan memperketatkan penguatkuasaan, di samping mendidik dan memberi kesedaran kepada semua pihak serta orang awam bahana jenayah rasuah.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/124920/KHAS/Sinar-Rasuah-Buster/Pemimpin-politik-perlu-isytihar-harta-untuk-pastikan-ketelusan

COMMENTS