KESEDAR didesak terima semula 291 keluarga peserta sertai Projek Agropolitan Kelantan Selatan bawah pengerusi baru
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 29 Oktober depan sebagai pengurusan kes
Bagi mengetahui status mediasi berhubung tuntutan 291 keluarga peserta bagi Projek Agropolitan Kelantan Selatan terhadap pihak Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menetapkan tarikh itu selepas sessi mediasi antara 291 keluarga peserta yang juga plaintif yang diwakili peguam, Hisham Fauzi dan KESEDAR sebagai defendan yang diwakili peguam, Arham Rahimi Hariri.
Hisham berkata, tarikh itu ditetapkan sebagai tarikh akhir untuk KESEDAR menimbangkan tiga cadangan penyelesaian dari Plaintif- Plaintif Jika cadangan itu ditolak atau tiada keputusan oleh KESEDAR selepas tarikh itu, mahkamah akan menetapkan tarikh bicara kes.
Katanya, tempoh itu diberikan untuk membolehkan pihak KESEDAR membuat keputusan sama ada menerima tuntutan peserta.
“Antara cadangan penyelesaian peserta dalam mediasi ini adalah untuk memohon kerja semula di ladang kelapa sawit seluas 3.7 hektar dengan status peneroka.
“Mereka juga minta segala faedah yang ada seperti dalam perjanjian peneroka biasa. Selain itu, peserta juga memohon untuk mendapatkan wang sagu hati sebanyak RM8,400 untuk satu keluarga.
“Ketiga, mereka juga mohon supaya KESEDAR memberi hak milik tanah seluas 0.2 hektar iaitu tapak rumah dan kebun koko diberikan kepada peserta,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Kota Bharu di sini, hari ini.
Hisham berkata, sebelum ini, peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan adalah seramai 585 peserta, walau bagaimanapun sebahagian daripada mereka sudah menandatangi surat persetujuan menyerahkan semula ladang mereka kepada KESEDAR dan mereka ini diberikan hak milik tapak rumah serta ladang koko seluas 0.2 hektar dan wang gratuiti sebanyak RM8,400.
“Justeru, 291 keluarga peserta yg tak setuju menyerah ladang mereka hari ini juga turut mohon diberikan hak yang sama,” katanya.
Beliau berkata, tuntutan asal ganti rugi peserta adalah merangkumi hakmilik tanah ladang, lot rumah dan agihan kewangan sebanyak RM46 juta bagi keseluruhan peserta.
Peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan di Taman Agropolitan Rantau Manis berkenaan hilang pekerjaan apabila projek tersebut diambil alih Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Projek berkenaan yang pada asalnya dikendalikan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Kesedar, namun selepas kerjasama tamat, ECERDC telah menyerahkan projek itu sepenuhnya kepada Kesedar berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Menurut wakil peserta yang ditemui berkata, mereka yang merupakan rakyat termiskin negeri Kelantan dipilih bagi menyertai program berkenaan sebagai salah satu ikhtiar basmi kemiskinan sebelum ini. Mereka diberikan lot tanah untuk diusahakan dengan sawit dan sebuah rumah E-Kasih apabila menyertai projek berkenaan. Walau bagaimanapun penyelesaian yang diputuskan pihak Kesedar dan ECERDC tanpa berbincang lanjut dengan peserta projek itu membuatkan mereka kehilangan punca rezeki.
Segala perjanjian antara peserta dengan ECERDC sebelum ini terbatal dan para peserta yang sebelum ini mencari rezeki bergantung kepada hasil kelapa sawit idak lagi dibenarkan masuk ke lot sawit masing-masing. Malah pihak Kesedar telah membuat laporan polis ke atas peserta kerana enggan akur menyerahkan tanah lot mereka kepada Kesedar dan masih mengerjakannya. Difahamkan beberapa peserta telahpun dipanggil oleh pihak polis berkaitan laopran oleh Kesedar berkenaan.
“Sebagai ganti, satu surat penyerahan pemilikan kediaman diedarkan kepada peserta program untuk ditandatangani; yang mana kami tidak setujui.”
“Mengikut kandungan surat, peserta yang bersetuju menandatanganinya akan diberikan surat pemilikan rumah E-Kasih yang sudah kami duduki sekarang serta menerima gratuiti penyertaan RM700 sebulan hanya untuk tempoh setahun bermula Januari 2022” kata wakil berkenaan.
“Ketika ini peserta yang enggan menandatangani surat itu telah hilang punca pendapatan. Sebelum ini purata pendapatan bulanan kami bekerja di ladang adalah sebanyak RM1,500 sebulan. Kehidupan kami kini semakin tertekan apabila terpaksa bergolok-gadai barang kemas dan menjual barangan berharga bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Projek Agropolitan Kelantan Selatan menelan belanja RM240 juta dilaksanakan bermula tahun 2009 bermatlamat mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat miskin tegar sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.
Dalam tempoh 12 tahun, projek itu telah memberi manfaat kepada hampir 600 keluarga meningkatkan taraf hidup masing-masing apabila diberikan kediaman serta jaminan pekerjaan di ladang kelapa sawit.