Perjanjian “rundingan” palsu yang kini tidak dapat dijejaki sebenarnya diwujudkan semata-mata untuk mengabui pembayaran rasuah dari bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Shamsuddin kepada Rosmah Mansor, kata pendakwaan.
Pendakwaan yang diketuai pendakwa ad-hoc, Gopal Sri Ram berkata, tujuannya jelas iaitu sebagai kaedah menampakkan seperti sesuatu yang biasa berlaku, seterusnya mengabui rasuah yang bakal diterima tertuduh.
“Tujuannya adalah untuk menyediakan perjanjian bagi menyamarkan tujuan sebenar bayaran oleh Saidi kepada tertuduh. Perkataan “rundingan” sekadar cara halus untuk mengabui bayaran rasuah berkenaan,” kata pendakwaan dalam hujah bertulis difailkan di Mahkamah Tinggi, Selasa, yang dilihat FMT.
Sri Ram turut dibantu timbalan pendakwa raya Idham Abdul Ghani, Ahmad Akram Gharib , Mohamed Mustafa Kunyalam, dan Poh Yin Tinn.
Pendakwaan berkata, jika bayaran berkenaan benar-benar sekadar sumbangan politik untuk suami tertuduh, Najib Razak, tiada sebab untuk menyatakannya sebagai satu perjanjian rundingan.
Katanya, Jepak Holdings berminat memperoleh kontrak daripada Kementerian Pendidikan untuk menyediakan kuasa hibrid solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak, namun tidak mendapat sokongan menterinya ketika itu, Mahdzir Khalid.
Susulan itu, Saidi dan rakan kongsinya ketika itu, Rayyan Radzwill Abdullah, menemui pembantu Rosmah, Rizal Mansor, untuk mendapatkan bantuannya dalam memperoleh kontrak berkenaan.
Menurut pendakwaan, dalam pertemuan diatur Rizal pada 2016, Saidi mencadangkan kepada Rosmah bahawa dia akan menyumbang 10% nilai kontrak kepada Najib sebagai penghargaan terhadap pencapaiannya.
Rosmah berkata, banyak wang diperlukan untuk tujuan politik, seterusnya mengarahkan Rizal membawa Saidi dan Rayyan menemui ahli perniagaan, Desmond Lim.
“Ini satu petanda bahawa tertuduh sudah menerima tawaran berkenaan,” katanya.
Pendakwaan berhujah, perjanjian palsu itu disiapkan peguam, Lawrence Tee Kien Moon, yang dirujuk kepada mereka oleh Desmond.
“Bagaimanapun, perjanjian itu kini tidak dapat ditemui, dan pendakwaan berhujah Lawrence saksi yang boleh dipercayai. Walaupun ada yang menuduhnya bersikap tidak beretika, kewibawaannya tidak dapat disangkal.
“Beliau saksi yang tidak berkepentingan yang hanya timbul kerana tertuduh menghantar Said, Rayyan, dan Rizal menemui Desmond Lim. Keterangannya bersifat menyokong,” kata pendakwaan.
Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai imbuhan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar untuk 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion, menerusi rundingan terus dengan kementerian berkenaan.
Dia turut didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah bernilai RM6.5 juta – iaitu RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016, serta RM1.5 juta juga daripada Saidi di kediaman peribadinya di Langgak Duta di sini, pada 7 Sept 2017.
Pendakwaan berhujah, Rosmah memang meminta rasuah, kerana sebaik Saidi dan Rayyan meninggalkan kediaman peribadinya, tertuduh mengarahkan Rizal menaikkan jumlah sumbangan daripada 10% kepada 15%.
“Selain itu, boleh dikatakan bahawa kes pembelaan kononnya wang berkenaan satu sumbangan politik adalah tidak relevan kerana mengikut takrifnya sekalipun, sumbangan adalah sejenis imbuhan,” katanya.
Pendakwaan berkata, Saidi menunaikan RM1.5 juta di sebuah bank dan wang itu dimasukkan ke dalam dua beg yang diletakkan di dalam kenderaannya. Pemandunya, Shamsul Rizal Sharbini, kemudian memandu kenderaan itu ke kediaman peribadi Rosmah di Langgak Duta.
“Gambar dan video diambil Rayyan mengesahkan beg berkenaan memang wujud. Saidi memaklumkan Rosmah bahawa dia membawa RM1.5 juta sebelum mereka berdua beredar selepas pertemuan singkat,” katanya.
Menurutnya, Rizal yang berada di bilik bersebelahan mendengar tertuduh mengarahkan seorang butler mengambil beg berkenaan ke biliknya.
Pendakwaan berhujah, tindakan meminta rasuah diikuti bayaran pertama serta kedua sebenarnya sebahagian daripada transaksi sama.
“Susulan itu, bukti langsung mengenai penerimaan RM1.5 juta itu relevan terhadap penghantaraan dan penerimaan RM5 juta sebelumnya,” katanya.