Dalam Islam, meskipun pasangan suami isteri telah bercerai, bekas suami masih wajib memberikan nafkah kepada bekas isteri dan anak-anaknya.
Nafkah tersebut merangkumi keperluan seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, serta wang untuk keperluan hidup.
Namun begitu, terdapat sesetengah bekas suami yang memandang ringan tanggungjawab ini, menyebabkan mereka mengabaikan salah satu kewajipan yang telah disyariatkan dalam Islam.
Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai cheeksiti berkongsi pengalamannya di platform tersebut, mendedahkan bahawa bekas suaminya hanya memberi nafkah bulanan sebanyak 3 sen sahaja.
Beliau turut memuat naik gambar transaksi perbankan tempatan yang tertera ‘Nafkah Nakyla December 2024’.
Menurut wanita itu, bekas suaminya cuba untuk menyakiti hatinya kerana dia sudah tidak bekerja. Namun, lelaki itu terlupa dua perkara penting. “Pertama, rezeki Allah itu luas. Kedua, doa orang yang dizalimi,” katanya dalam klip video tersebut.
Di ruangan komen, ramai pengguna memberi sokongan dengan menegaskan bahawa nafkah adalah kewajipan bagi lelaki, tanpa mengira baik buruk hubungan selepas perceraian, dan mereka mendoakan agar wanita itu tabah dalam membesarkan anaknya.
“Nafkah itu kewajipan bagi lelaki, baik buruk isteri masih jadi kewajipan sampai anak berumur 18 tahun,” komen @muhammadafiq751.
Seorang lagi pengguna, @shx533, turut berkongsi pengalaman peribadi, “Saya pun ibu tunggal macam akak, suami pun tak bagi nafkah anak dan saya pun tak minta sebab dia pun dewasa ada akal fikiran. Pada saya biarlah dia jawab di akhirat nanti,” ujarnya.
BACA: Ini 8 cara mujarab halau tikus dari rumah, tapi no.5 tu ramai malas buat