Kes mahkamah ahli politik dari parti kerajaan beri gambaran negatif kepada negara

Keputusan mahkamah dalam beberapa kes membabitkan pemimpin politik atau individu berprofil tinggi yang dianggap tidak memuaskan hati sesetengah pihak sebenarnya memberi imej negatif kepada kerajaan.

Penganalisis politik berpendapat, walaupun keputusan berkenaan ditentukan oleh mahkamah selepas hujah kedua-dua pihak dipertimbangkan hakim, ia secara tidak langsung membawa kesan kepada parti pemerintah.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, walaupun keputusan mahkamah itu benar, dalam situasi sekarang ia akan menjadi fokus kepada masyarakat awam yang menilainya.

“Memang menjadi hak mahkamah untuk membebaskan individu berkenaan berdasarkan prosiding, tetapi dia akan tetap menjadi satu sentimen.

“Hari ini orang boleh menilai, sesetengah masyarakat awam sendiri terdiri daripada pengamal undang-undang yang faham tentang proses yang berlaku di mahkamah.

“Jadi apabila ahli-ahli politik yang banyak kes itu dibebaskan pastilah akan timbul persoalan dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada Malaysiakini.

Kes mahkamah ahli politik dari parti kerajaan beri gambaran negatif kepada negara

Mazlan Ali

Menurut Mazlan sekarang timbul persepsi bahawa oleh kerana Umno memerintah maka banyak pemimpin parti itu yang dikaitkan dengan rasuah akan ‘terselamat’ daripada hukuman.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana negatifnya reaksi rakyat terhadap kerajaan susulan keputusan mahkamah yang menyaksikan beberapa pemimpin politik dibebas atau dilepaskan daripada pertuduhan rasuah.

Untuk rekod antara kes membabitkan tokoh politik berprofil tinggi yang menarik perhatian ramai ialah bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas anggota Parlimen Kota Tinggi Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, dan anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz (dilepas tanpa dibebaskan).

Negara boleh dipandang negatif

Mazlan berkata, dengan perkembangan teknologi maklumat di hujung jari, isu persepsi tidak dapat dielakkan dan pandangan bahawa hanya kerajaan mengetahui semua perkara sudah berakhir.

“Hari ini rakyat yang boleh dapat maklumat di hujung jari, tiada siapa boleh sembunyikan apa-apa, tiada siapa boleh bersikap tidak telus. Mesti kena telus kalau tak telus rakyat akan bongkar, inilah cabaran politik hari ini.

“Ahli-ahli politik mesti mengamalkan prinsip politik baru, politik telus yang lebih terbuka, politik yang lebih toleran politik dan saksama. Tak boleh dah dengan cara lama dan tak sesuai sebab boleh menimbulkan isu-isu yang boleh menggugat parti dan kerajaan,” katanya yang juga pensyarah kanan Sekolah Perdana UTM.

Sementara itu Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan, berkata pembebasan ahli politik daripada kes mahkamah pastinya memberikan kesan kepada keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Jika ini berterusan, katanya, akan ada tiga impak besar kepada kepimpinan negara iaitu tahap kebolehpercayaan rakyat terhadap pemimpin politik semakin melemah, ditambah pula dengan soal defisit kepercayaan terhadap kepimpinan sebelum ini sudah dibangkitkan khususnya dalam pengurusan negara berhadap gelombang Covid-19.

Selain itu katanya ada juga tanggapan – yang tidak semestinya benar – dalam kalangan orang ramai bahawa kerajaan atau parti mempengaruhi cabang perundangan, dan kesukaran untuk mengikis label kleptokrasi yang kuat dengan imej Umno.

“Sekiranya tidak dicegah, wujud kekhuatiran imej Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan menjunjung kedaulatan undang-undang akan dipandang negatif,” katanya.

Jelas Ariff Asyrul, sekiranya kerajaan serius mahu untuk mendukung reformasi institusi seperti yang dicanangkan, perkara sedemikian harus dielakkan.

“Ketelusan, akauntabiliti dan kebebasan kehakiman adalah tunjang utama ke arah amalan politik baru di Malaysia,” kata Ariff Asyrul.

Untuk rekod ketika ini ada beberapa lagi tokoh berprofil tinggi sedang dibicarakan. Selain Najib, turut dibicarakan ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan dan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/590430

BACA JUGA : Gempar !!! Abang Long tembakau kunyah didakwa ‘jaga’ VIP

CATEGORIES