Kes hina mahkamah: Amino Agos dibenar tangguh perintah mahkamah

662d74e28d0b4baa2f9572d9a4d509015ca71731e28d8.png
Bekas Pegawai Pengurus Pilihan Raya Amino Agos Suyub dibenar menangguhkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan prosiding kes menghina dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan semula.

Perintah penangguhan itu dikeluarkan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang dianggotai Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Idrus Harun dan Datuk P. Nallini.

Peguam G. Rajasingam yang mewakili Amino Agos memohon penangguhan perintah Mahkamah Rayuan sementara menunggu permohonan bagi kebenaran mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili calon PKR Dr S. Streram tidak membantah permohonan penangguhan itu.

Pada 17 Mei lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer memutuskan perkara itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang sama Datuk Azimah Omar untuk menimbang semula proses penghinaan oleh Amino Agos itu.

Amino Agos dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada Oktober tahun lepas kerana mengajar saksi bagaimana untuk menjawab soalan di mahkamah semasa prosiding petisyen pilihan raya yang difailkan Dr Streram.

Pegawai daerah Rembau itu, adalah pegawai pengurus pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Rantau semasa pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mengekalkan kerusi DUN Rantau pada pilihan raya kecil 13 April tahun ini, selepas menewaskan tiga pencabarnya, termasuk Dr Streram.

Rajasingam memberitahu pemberita, anak guamnya memohon penangguhan sementara menunggu kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan perbicaraan semula prosiding penghinaan itu.

Sementara itu, Muhammad Rafique berkata beliau tidak membantah permohonan penangguhan itu kerana anak guamnya berpendapat perintah itu adalah berdasarkan pertimbangan Hakim Mahkamah Pilihan Raya.

BERNAMA