Kerjasama dengan PN tidak beri manfaat kepada Umno – Nur Jazlan

Kerjasama dengan PN tidak beri manfaat kepada Umno – Nur Jazlan

Ketika bahang pilihan raya umum (PRU) semakin terasa, seorang pemimpin kanan Umno menyarankan agar parti itu membuat keputusan berani dengan menamatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Tidak cukup dengan itu, Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed juga menyarankan parti itu mengkaji semula hubungan kerjasama mereka dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

Katanya Umno Pulai – yang diketuainya ketika ini – akan memulakan langkah mendesak itu dengan mengemukakan usul terbabit.

Menurut Nur Jazlan ketika ini pembabitan Umno bersama PN dilihat tidak mendatangkan manfaat kepada parti itu malah mereka akan terpalit dengan hal negatif jika PN melakukan sesuatu yang tidak disenangi rakyat.

Pada masa sama katanya jika PN melakukan sesuatu yang positif Umno tidak pun mendapat faedah atau dipuji.

“Usul sedemikian akan turut dibuat di peringkat Umno bahagian lain, bukan sahaja di Johor, tetapi di seluruh negara,” katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Ketika sesetengah pemimpin Umno menunjukkan kesungguhan mempertahankan kerajaan PN dan MN, sesetengah yang lain pula bersikap skeptikal dan mula menampakkan rasa kurang senang dengan gabungan tersebut.

Reaksi itu mengundang ulama PAS seperti Mokhtar Senik yang melabelkan orang yang mengkritik PN dan MN sebagai pengikut kumpulan munafik.

Untuk rekod di sebalik termeterainya persefahaman secara rasmi dengan Umno dalam MN, PAS juga menyertai PN sebagai salah satu parti komponennya,

Umno pulbukanlah sebahagian daripada PN sebaliknya ahli parlimen parti itu hanya memberikan sokongan secara peribadi kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Nur Jazlan berkata hubungan kerjasama Umno dalam PN kini dilihat amat rapuh sama ada di peringkat pusat mahupun akar umbi.

“Kerjasama yang terjalin bersama PN ketika ini adalah melibatkan kapasiti ahli parlimen Umno dan bukannya parti, dan ia juga hanya sehingga PRU dilaksanakan.

“Ketika ini juga dilihat tiada sebarang kepercayaan antara Umno dan Bersatu. Bagaimana parti kecil (Bersatu) boleh berasakan mereka abang kepada parti yang lebih besar (Umno)?

“Kerajaan sedia ada ketika ini juga hanya memiliki majoriti lebih dua kerusi, dengan lebih daripada 30 kerusi datangnya daripada ahli parlimen Umno,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/557293

COMMENTS