Siapa yang tak risau bila kereta kesayangan tiba-tiba mengeluarkan bau kurang enak, kan?
Selalunya, bila masalah seperti ini berlaku, pemilik kereta akan segera membawanya ke pusat cuci kereta.
Namun, anehnya, walaupun sudah dicuci luar dalam, bau hapak tersebut masih tidak hilang.
Lebih memeningkan, walaupun cuba membersihkannya sendiri di rumah, bau seperti ‘stokin lama’ itu tetap kekal dalam kereta.
Bau hapak sebegini memang menjengkelkan dan boleh membuatkan kita berasa tidak selesa setiap kali memandu.
Menariknya, ada cara yang tidak memerlukan kos tambahan, hanya beberapa langkah mudah dan bau kereta anda akan kembali segar.
Ramai tidak sedar bahawa bau busuk dalam kereta ini biasanya berpunca dari sistem penghawa dingin.
Jika bau hapak muncul setiap kali penghawa dingin dibuka, itu menandakan mungkin terdapat kotoran pada komponen penting yang dipanggil cooling coil.
Cooling coil yang kotor menjadi tempat pembiakan kuman dan bakteria, dan apabila blower penghawa dingin menghembuskan udara, bau hapak daripada bakteria tersebut tersebar ke dalam kereta.
Bau hapak dari penghawa dingin ini biasanya hilang selepas 5 hingga 10 saat, tetapi kadang-kadang bau tersebut berterusan, terutama jika cooling coil kereta tidak pernah dibersihkan.
Jadi, jika anda mahu kereta sentiasa berbau segar, penting untuk tahu cara menjaga komponen ini dengan betul.
Apa yang perlu dilakukan untuk menghilangkan bau hapak dalam kereta? Jangan risau, cara untuk menghilangkan bau hapak ini tidak susah.
Anda hanya memerlukan beberapa minit dan boleh melakukannya sendiri di rumah.
1.Hidupkan enjin kereta dan pasang penghawa dingin seperti biasa.
2.Naikkan tahap angin ke nombor empat atau paling kuat supaya udara beredar dengan lancar ke seluruh kereta.
3.Tetapkan suhu penghawa dingin ke tahap paling rendah. Ini penting untuk memaksa udara sejuk keluar dengan lebih kuat, sekaligus membantu mengurangkan bau.
4.Turunkan semua tingkap kereta anda dan biarkan angin luar masuk. Cara ini membantu menyingkirkan bau hapak dengan lebih berkesan.
5.Biarkan kereta anda dalam keadaan ini selama kira-kira 20 minit. Jika mahu, anda juga boleh memandu kereta sepanjang proses ‘penyegaran’ ini, dan pastikan anda melakukannya sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit untuk hasil yang optimum.