Kerana idea ‘Grand Coalition’ PH nampak hilang arah, tidak konsisten dan berpecah

Kerana idea ‘Grand Coalition’ PH nampak hilang arah, tidak konsisten dan berpecah

Dua perkara yang penulis sarankan supaya PH segera lakukan untuk memperkukuhkan pakatan politik ini tetapi masih tidak dilakukan.

Pertama, melantik Pengerusi PH di negeri-negeri dan kedua, mengarahkan PH negeri membuat pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti dalam PH.

Apa fokus PH sekarang ini pun kabur kerana masih keluar berita , kenyataan bersama sekelompok ahli-ahli Parlimen tertentu dari PKR, AMANAH dan DAP menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu.

Mereka bukan dari ahli parlimen PH yang biasa tapi memegang jawatan tinggi dalam parti.Mengapa mereka tidak mengambil inisiatif memastikan pendirian yang dibuat adalah dari PH bukan sekelompok ahli parlimen PH.

Mungkin kerana kelompok ahli Parlimen ini juga mengandungi ahli parlimen dari Warisan, Pejuang, Muda dan Bebas. Maka, mereka terpaksa membuat pendirian berasingan daripada pendirian PH.

Atau pun , inilah kelompok yang mahu idea ‘grand coalition’ dilaksanakan tapi masih tercari-cari jalan untuk menjayakan idea ini. Jika benar, mereka hanya membenarkan dakwaan bahawa dalam ketiga-tiga parti dalam PH , terdapat dua kelompok pimpinan yang berbeza pandangan tentang idea ‘grand coalition’ Mengapa Majlis Presiden PH tidak membuat keputusan segera mengenai idea ini? Jika bersetuju, laksanakan segera idea ini.

Jika tidak setuju, tinggalkan terus idea berkenaan.

Jangan kerana idea ini, PH nampak tidak bersama, hilang arah, tidak konsisten dan berpecah. Penulis juga tidak bersetuju dengan beberapa pimpinan PH yang berlebih-lebihan mempertahankan Tun M hanya kerana mereka penyokong idea ‘grand coalition’ .

Hakikat bahawa kejatuhan kerajaan PH adalah kerana Tun M harus diakui. Tun M meletak jawatan bukan kerana dia hilang majoriti kerana pada masa itu masih ada 114 ahli parlimen yang mempertahankan kerajaan PH.

Sekiranya, Tun M berbincang dengan pimpinan PH sebelum meletak jawatan.

Perletakan jawatan ini akan berlaku sama seperti perletakan jawatan beberapa PM yang lepas kerana PH masih ada majoriti 114 ahli parlimen.

Tidak timbul dakwaan bahawa jika Tun M tidak meletak jawatan maka sama macam Muhyiddin yang tidak meletak jawatan walaupun hilang majoriti.

Ini kerana , semasa Tun M meletak jawatan , walaupun ada ahli parlimen PPBM dan kumpulan Azmin yang lari. Masih ada 114 ahli parlimen yang menyokong kerajaan PH.

Apabila Tun M meletak jawatan tanpa berbincang dengan pimpinan PH , itulah bukti Tun M yang mahu menjatuhkan kerajaan PH untuk menubuhkan kerajaan perpaduan yang dilhamkannya tanpa berbincang dengan pimpinan PH.

Apa lagi yang hendak dipertahankan? Jika hendak sokong idea ‘grand coalition’ sokonglah tapi janganlah hendak menafikan hakikat bahawa Tun M meletak jawatan kerana mahu menjatuhkan kerajaan PH.

Bagi penentang idea ‘grand coalition’, mereka juga perlu menerima hakikat bahawa gabungan besar PH bersama Warisan , Pejuang dan Muda akan menambah keyakinan rakyat kepada pembangkang. Idea ‘grand coalition’ bukan untuk mengangkat semula Tun M sebagai PM.

Calon PM tetap DSAI. Idea ini adalah untuk menghalang berlakunya pecahan undi untuk parti-parti pembangkang jika bertembung sesama sendiri. Ini akan menguntungkan pihak lawan , sama seperti yang berlaku kepada BN dan Pas semasa PRU 14 , di mana kedua parti ini hilang banyak kerusi kepada PH kerana undi mereka berpecah. Sekiranya, Tun M tidak mahu calon PM adalah DSAI.

Tinggalah Pejuang, teruskan dengan Warisan dan Muda jika bersedia calon PM adalah DSAI. Penulis tetap berharap PH segera mengarahkan PH negeri membuat pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti dalam PH.

Pastikan akar umbi parti-parti dalam PH di setiap kerusi Dun dan parlimen sudah tahu kerusi yang akan ditandingi.

Pastikan akar umbi PH tidak terawang-awang seperti sekarang. Fokus tidak jelas, tiada hala tuju kerana pimpinan tertinggi PH masih memburu mandat yang tidak kesampaian. Masih berkhayal dengan idea ‘grand coalition’,yang tiada keputusan.

Akhirnya, akar umbi menyerang sesama sendiri. Cyber-cyber berlaga sesama sendiri. Sedihnya , ada cyber yang kerjanya menyerang parti-parti dalam PH . Mereka tidak ditegur, walaupun mereka dikenali pimpinan tertinggi PH.

Jika sebelum ini , penulis membuat analisa tiga negeri di Selatan tanahair iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Kali ini penulis, membuat analisa di Selangor untuk melihat potensi PH dan kesan gabungan BN dan Pas dalam Maufakat Nasional. Ternyata sama seperti negeri-negeri di Selatan tanahair, Pengaruh Maufakat Nasional sebenarnya tidak kuat di Selangor.

Peratus pengundi Melayu bandar yang besar, menyebabkan gabungan undi Umno-Pas masih tidak dapat menyaingi undi PH. Undi Melayu yang diterima PH di Selangor pada PRU 14 ialah 38.9%, undi Cina melebihi 95% dan undi India mencapai 75.2% . Merujuk kepada jadual di bawah, pada PRU 14 PH Selangor menang 51 kerusi berbanding BN menang 4 kerusi dan 1 kerusi dimenangi PAS (Parlimen 20 PH, 2 BN).

Walaupun dibuat gabungan undi Umno-Pas, PH masih selesa memerintah Selangor dengan 40 kerusi berbanding 16 kerusi BN (Parlimen 15 PH, 7 BN) Sekiranya undi kepada PH bertambah 5% , PH akan menambah lebih kerusi untuk terus memerintah Selangor pada PRU 15. Perkembangan politik dan keadaan ekonomi yang makin menekan semasa pemerintahan PN akan memudahkan tambahan 5 % ini dicapai .

Sumber : http://tulahan.blogspot.com/2021/02/tulahan-idea-grand-coalition-tiada.html