Kerajaan Warisan Sabah perlu dikekalkan – PH Sabah

Kerajaan Warisan Sabah perlu dikekalkan – PH Sabah

Pakatan Harapan (PH) Sabah memandang serius tentang perkembangan politik peringkat Nasional yang dilanda krisis disebabkan pergolakan politik dan perebutan kuasa.

PH Sabah mengesa agar mandat rakyat dikembalikan agar kita boleh fokus dalam menangani isu ekonomi untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan sektor pendidikan yang menjadi nadi pembangunan insan negara.

Dalam konteks negeri, PH Sabah berpandangan agar kerajaan yang diterajui oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) perlu dikekalkan untuk kestabilan politik negeri.

PH Sabah mendokong penuh kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal untuk meneruskan kepimpinan negeri yang setakat ini terbukti dapat memberi manfaat kepada rakyat Sabah keseluruhannya.

PH Sabah juga berharap agar model politik yang diamalkan di Malaysia Timur ini yang agak matang dalam konteks politik negeri yang berbilang kaum dan agama dapat diterjemahkan dalam konteks politik negara.

Konflik antara kaum dan fanatik beragama perlu diminimakan dalam membina masa depan negara.

“Kita tidak mahu negara ini diheret dengan prasangka antara kaum dan menjadi bom jangka di masa hadapan.

“Oleh itu PH Sabah mencadangkan agar formula politik di Malaysia Timur atau Borneo ini terutama di Sabah dapat menjadi rujukan pimpinan nasional dalam mengatasi kemelut politik yang melanda negara.

“Sudah tiba masanya pemimpin Sabah dan Sarawak sepatutnya diberi peranan strategik dalam menerajui kepimpinan negara kerana kebijaksanaan dan kematangan mereka dalam mengurus kepelbagaian etnik dan agama,” kata pemimpin-pemimpin PH dalam satu kenyataan bersama, di sini semalam.

Kenyataan bersama ini dikeluarkan oleh Pengerusi PH Sabah merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Christina Liew; Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Datuk Frankie Poon dan Pengerusi AMANAH Sabah Lahirul Latigu.

Menurut mereka, buat masa ini PH Sabah akan menumpukan usaha untuk membantu membangun semula ekonomi negeri dan memastikan rakyat Sabah dapat melepasi cabaran Covid-19 serta kembali kepada keadaan asal terutama sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Berita penuh : https://www.borneotoday.net/kerajaan-sabah-sedia-ada-perlu-dikekalkan-ph-sabah/

COMMENTS